Thursday, March 6, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyalaan lampu ungu menjelang Hari Wanita Antarabangsa 2025

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Beberapa mercu tanda utama seperti Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), Bangunan Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja dan Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas akan menyalakan lampu berwarna ungu bagi menyahut inisiatif negara sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang setiap tahunnya diraikan pada 8 Mac.

    Penyalaan lampu akan berlangsung selama dua malam, bermula esok, 7 hingga 8 Mac pada jam 7 malam hingga 12 tengah malam. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk memperingati sumbangan dan pencapaian wanita dalam pelbagai bidang, tetapi juga sebagai tanda sokongan kepada usaha memperkasakan peranan wanita dalam masyarakat.

    Warna ungu dipilih sebagai warna tema rasmi Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, sejajar dengan amalan yang turut dilakukan di peringkat antarabangsa.

    Warna ini melambangkan keadilan, martabat dan perpaduan dalam memperjuangkan hak serta kepentingan wanita. Penyalaan lampu ungu juga mencerminkan sokongan Negara Brunei Darussalam terhadap usaha yang digerakkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memperkasakan wanita di seluruh dunia.

    Sebagai tanda sokongan dan penyertaan orang ramai dalam kempen ini, orang ramai digalakkan untuk mengambil gambar lokasi-lokasi yang diterangi cahaya ungu dan memuat-naiknya ke media sosial dengan menggunakan hashtag #HWA2025 atau #IWD2025.

    Inisiatif berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesaksamaan jantina tetapi juga menggalakkan masyarakat untuk sama-sama menghargai dan meraikan pencapaian wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

    Dengan pelaksanaan inisiatif ini, diharapkan dapat mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan penghargaan terhadap sumbangan wanita di Negara Brunei Darussalam serta di peringkat global. 

    Lampu ungu akan dinyalakan di Jambatan SHOAS dan beberapa tempat lain. – GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda