WASHINGTON, 3 JAN – Pegawai Apple menawarkan penyelesaian bernilai AS$95 juta bagi menamatkan saman berhubung dakwaan pelanggaran privasi melibatkan pembantu maya Siri, lapor United Press International (UPI).
Cadangan penyelesaian itu, yang difailkan pada malam Selasa di Mahkamah Daerah AS di Oakland, merujuk kepada tindakan undang-undang yang difailkan pada 2019 oleh pemilik peranti mudah alih Apple, termasuk iPhone dan Apple Watch.
Para plaintif mendakwa bahawa pembantu maya Siri telah merakamkan perbualan peribadi mereka selepas aplikasi itu diaktifkan tanpa sengaja.
Rakaman terbabit didakwa telah didedahkan kepada pengiklan dan pihak ketiga tanpa kebenaran.
Apple memaklumkan bahawa aplikasi Siri hanya akan diaktifkan apabila pengguna mengucapkan ‘Hei, Siri’.
Namun, seorang pemberi maklumat melaporkan pada 2019 bahawa aplikasi Siri kadangkala menjadi aktif apabila mendengar perkataan atau bunyi lain yang serupa, seperti zip yang dibuka dan ditutup, atau bunyi latar belakang lain.
Selepas diaktifkan tanpa sengaja, Siri sering merakamkan perbualan dan aktiviti lain yang tidak diingini oleh pemilik peranti Apple, dakwa plaintif.
Seorang plaintif mendakwa peranti Apple miliknya kadangkala merakam suara anak perempuannya selepas menyebut nama jenama, seperti Air Jordan dan Olive Garden yang menyebabkan iklan berkaitan jenama itu muncul semasa menggunakan pelayar Safari Apple.
Seorang lagi plaintif berkata beliau membincangkan prosedur pembedahan dengan doktornya dan selepas itu menerima iklan berkaitan rawatan pembedahan daripada jenama perkhidmatan perubatan.
Plaintif mendakwa rakaman yang tidak disengajakan itu melanggar privasi mereka, walaupun Apple mengiklankan perlindungan privasi pengguna. – Bernama