Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyaman udara semakin laku ketika musim kemarau

    MELAKA, 28 APRIL – Cuaca panas berikutan perubahan monsun yang berlaku ketika ini mendorong orang ramai memasang penyaman udara di kediaman masing-masing sekali gus menaikkan jualan alat elektrik berkenaan.

    Tinjauan Bernama mendapati rata-rata kedai menjual perkakas elektrik menerima keuntungan berganda hasil jualan penyaman udara ketika musim kemarau ini berbanding bulan lain.

    Jurujual perkakas elektrik, Janice Ooh, 37, berkata penjualan penyaman udara di premisnya meningkat 10 hingga 20 peratus pada bulan ini sahaja berikutan keadaan cuaca panas.

    “Pelanggan tidak teragak-agak untuk membuat pembelian seunit penyaman udara yang dijual bermula dengan harga RM900 berbanding hanya melihat sahaja barangan elektrik itu sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pengurus kedai elekrik di Jalan Perindustrian Bachang Baru, Mohd Zamri Hamzah berkata penjualan penyaman udara di kedainya turut meningkat beberapa peratus berbanding bulan lepas.

    “Sebanyak 30 unit penyaman udara terjual sepanjang Ramadan lepas. Selain menyejukkan rumah, perkakasan elektrik tersebut kini ada yang dilengkapi teknologi terkini yang mampu membekalkan lebih banyak oksigen di dalam rumah.

    “Teknologi tersebut amat baik untuk persekitaran dan amat sesuai digunakan ketika musim kemarau ini,” katanya.

    Sementara itu, seorang pelanggan Husairi Ujang, 46, berkata beliau membeli tiga unit penyaman udara sebagai langkah persediaan menghadapi musim kemarau pada tahun ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda