‘Penyambungan ECRL tepat pada masanya’

KUALA LUMPUR, 18 April – Keputusan untuk menyambung semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas sembilan bulan rundingan adalah tepat pada masanya, kerana ia akan menjadi pemangkin bagi pasaran ekuiti berikutan persekitaran luaran yang amat mudah meruap,  kata Bank Islam Malaysia Bhd.

Ketua ekonominya, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan penyertaan tempatan dalam projek itu amat baik kepada sektor berkaitan pembinaan berikutan para kontrakor  tempatan akan mendapat manfaatnya. “Ini, sekali gus, akan memberikan pelbagai impak positif kerana permintaan terhadap bahan binaan seperti besi dan simen akan meningkat,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata untuk jangka panjang, projek itu akan menggalakkan pembinaan infrastruktur lain seperti lebuh raya dan pelabuhan untuk melancarkan lagi perdagangan antarabangsa.

Bagaimanapun, MIDF Research masih mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor pembinaan, mengambil kira jangkaan harga projek ECRL sudah dimasukkan. “Ini dicerminkan pada prestasi indeks pembinaan KL (KLCON) yang dilihat bergerak lebih pantas daripada asasnya, sebelum pengumumannya.

“Penerima manfaat segera daripada projek ECRL ialah Lafarge Malaysia (yang mengeluarkan simen, pelbagai bahan pembinaan lain dan konkrit) dan HSS Engineers,dengan kedua-duanya sebelum ini telah memperoleh kerja pada saiz agak besar daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC),” katanya. – Bernama

Gambaran laluan Projek Rel Pantai Timur (ECRL). Projek ECRL akan disambung semula dengan kos kurang RM21.5 bilion. – Bernama