Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyambungan longgar punca kebakaran

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar daripada JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebuah rumah musnah dijilat api dalam kejadian yang berlaku di STKRJ Kampung Tungku, pada petang Jumaat lalu.

    Rumah berkenaan dihuni oleh seramai 35 orang yang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), semalam, kebakaran dipercayai berpunca daripada penyambungan yang longgar di bahagian pendawaian starter alat penghawa dingin jenis unit terpisah 1.5 hp.

    Anggaran kerugian akibat kejadian itu lebih kurang $80,000, tambah kenyataan.

    Kenyataan menjelaskan, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 3:56 petang, lapan orang anggota bomba dan penyelamat bersama dua buah jentera bomba telah dikerahkan ke tempat kejadian dengan diketuai oleh Pegawai Pemerintah Operasi A, Penguasa Kanan Bomba, Awang Noor Aflan bin Awang Kachi.

    Susulan dengan ini, JBP dalam kenyataannya turut menyarankan orang ramai untuk memastikan pemakaian elektrik tidak mencapai tahap lebih bebanan dan pastikan menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas menggunakannya atau meninggalkannya dalam masa yang lama.

    Di samping itu, pastikan pendawaian dalam keadaan baik serta membuat pemeriksaan dengan menggunakan syarikat yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan pastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api yang bersesuaian (jenis ABC Powder), selimut api atau alat pengesan asap.

    Jika berlaku sebarang kejadian kecemasan, orang ramai dikehendaki berhubung terus kepada pusat gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di STKRJ Kampung Tungku.
    Anggota bomba ketika berusaha memadamkan kebakaran.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda