Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan secara terperinci terhadap tiga penyampai radio yang didakwa mempersenda upacara agama lain.
Kata Fahmi, SKMM juga diarahkan memanggil syarikat serta pihak pengurusan stesen radio berkenaan ke ibu pejabat untuk memberikan keterangan.
“Kami sudah menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio mempersenda upacara agama lain yang dimuat naik dalam platform media sosial pagi tadi.
“Jadi, saya arahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci termasuk memanggil pihak dan pengurusan stesen radio itu hadir memberi penjelasan lanjut di ibu pejabat SKMM,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.
Sementara itu, Astro Audio dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga penyampai iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin.

Malah pihaknya juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak SKMM untuk siasatan lanjut.
“Kami memandang serius perkara ini dan selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalan-kan siasatan dalaman ke atas insiden ini.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.
Sebelum ini, stesen radio Era dan tiga penyampainya tampil membuat permohonan maaf selepas tular video menyaksikan penyampainya menari seolah-olah mempersendakan agama Hindu.
Permohonan maaf itu dibuat secara terbuka dan dimuat naik di semua sosial media rasmi stesen berkenaan.
Isu ini timbul selepas salah seorang penyampai segmen 3 Pagi Era iaitu Azad Jazmin dilihat sakan meniru satu aksi tarian berkaitan keagamaan.- Agensi