Personaliti radio Era, Azad Jasmin tidak menyangka menerima sokongan daripada pelbagai bangsa selepas dia dan dua lagi penyampai radio terpalit kontroversi mempersenda agama lain.
Katanya selepas insiden berkenaan berlaku pada Mac lalu, dia tidak pernah menerima sebarang gangguan sebaliknya mendapat sokongan daripada kawasan kejiranan, menurut laporan mStar.
“Nak kata takut keluar rumah, saya ini tinggal di kawasan Puchong. Kiri, kanan, depan, belakang semua jiran saya berbangsa India.
“Tapi Alhamdulillah saya tak menerima apa-apa ancaman. Mereka semua baik. Pada hari kejadian saya balik rumah mereka tanya apa sebenarnya yang berlaku.
“Mereka suruh saya tenang, ini semua perkara biasa permainan dunia katanya. Saya tak sangka mendapat sokongan seperti itu,” katanya kepada mStar.
Azad berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara Kenduri Raya Era yang diadakan di Ruang Tamu Datin Halijah, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, rakan penyampai Nabil Ahmad turut meluahkan rasa terharu kerana tidak menyangka menerima sokongan daripada masyarakat India.
Kata Nabil, sokongan diterima membuatkan mereka sedar bahawa masih ramai rakyat Malaysia yang terbuka memberikan sokongan meskipun berbeza agama dan bangsa.
“Warganat berbangsa India pun ramai yang DM, mereka cakap kesilapan kami lakukan itu adalah perkara diluar kawalan.
“Mereka sentiasa memberi kata-kata semangat dan tunjukkan sokongan. Ada yang sanggup buat video semata-mata untuk bagi sokongan kepada kami sehinggan dikecam orang lain.
“Saya sangat hargai sokongan mereka kerana inilah yang kami nampak bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang baik hati dan saling membantu tak kira agama dan bangsa,” ujarnya.
Pada awal Mac lalu, barisan penyampai 3 Pagi Era berdepan kontroversi apabila mereka memuat naik video yang didakwa mempersendakan agama lain dan akibatnya pihak majikan memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga mereka.
Trio ini kembali memulakan tugas pada 7 April lalu. – Agensi
