SERAMAI sembilan orang pesilat elit Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41 telah dinaikkan ke tahap guru kanan, guru madya dan guru pertama manakala 21 pesilat lagi masing-masing dinaikkan ke tahap jurulatih utama, jurulatih kanan dan jurulatih muda dalam satu majlis khas yang dinamakan Anugerah Sukma Wira. Kenaikan ke peringkat guru dan jurulatih ditandai dengan pemberian sandang, arat, dan sijil pelantikan yang diadakan di Studio Brainwarrior, Kiulap baru-baru ini.
Di samping itu terdapat sembilan orang pesilat telah selamat menjalani ujian kenaikan arat (UKA) bagi peringkat Prawira (asas bela diri dan tangan kosong), Ekawira (penggunaan dan pengawalan senjata tumpul), Dwikira (penggunaan dan pengawalan senjata tajam) dan Triwira (pelbagai bentuk aplikasi bela diri, garapan, dan kuncian).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Dipertua, Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Brunei Darussalam, Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Ludin.
Dalam amanatnya pada majlis itu, beliau berpesan agar persatuan-persatuan silat di sebalik keghairan untuk mengikuti arus perubahan hendaklah terus berusaha mengekalkan jati diri orang-orang Brunei.
Katanya, masih banyak kha-zanah ilmu persilatan yang belum diwarisi dengan baik dan berkesan oleh generasi hari ini.

G41 sebagai salah sebuah persatuan silat utama di Brunei seberapa daya menonjolkan kelainan dan sekali gus keberkesanan sistem bela diri.
Dengan demikian silat Brunei akan terus diminati dan mendapat tempat di hati masyarakat.
Acara dimulakan dengan perletakan indung keris diikuti dengan persembahan silat tradisi sebagai penyeri majlis.
Tetamu Kehormat seterusnya dijemput untuk menyarungkan sandang dan menyampaikan arat kepada pesilat-pesilat yang diraikan.
Sebelum meninggalkan studio tetamu kehormat dan beberapa orang ahli jawatankuasa tertinggi PERSIB telah berkesudian untuk berkongsi ilmu, kemahiran, dan pengalaman mengenai dengan konsep pertahanan diri yang terdapat dalam Silat Cakak Asli Brunei.
Para pesilat yang hadir diperlihatkan secara sepintas lalu untuk mengenali ciri-ciri utama, nanti (tungguan), ayun tangan, unggat kaki, langkah, jalan, tertib, rangkaian, dan teknik pertahanan.
Seminggu sebelum Anugerah Sukma Wira, perguruan telah mengadakan Mesyuarat Agungnya dengan menyaksikan Mejar (B) Awang Rusli bin Bujang terus diberikan kepercayaan untuk memimpin perguruan ini sejak tahun 1996.
Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41
Perguruan Seni Pencak Silat Gerak Empat Satu (PSPSG41) memulakan latihan secara tidak formal sekitar tahun 1981.
Pada 30 Mei 1988 PSPSG41 diterima menjadi Ahli Gabungan PERSIB (Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan) dan didaftarkan secara rasmi di bawah Pendaftaran Pertubuhan pada 6 September 2016.
Sebelum menjadi sebuah persatuan silat, PSPSG41 berasal daripada dua aliran persilatan yang satu bergelanggang di Bukit Merikan di bawah asuhan Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Yusuf, dari aliran Pencak Silat Melayu dan yang satu lagi bergelanggang di Kampung Setia di bawah asuhan Haji Musa bin Pengarah Haji Jair, daripada aliran Silat Cakak Asli.
Pada tahun 1987 kedua-dua pengasas ini memutuskan untuk menggabungkan kedua-dua gelanggang atas satu nama persatuan iaitu Perguruan Seni Pencak Silat Gerak 41.
Silat Gerak 41 membawa makna empat aliran pencak silat yang berkembang di Negara Brunei Darussalam diolah menjadi satu sistem bela diri yang berkesan, dinamik, multi-dimentional dan functional.
Pada mulanya pesilat PSPSG41 terdiri daripada penduduk-penduduk Kampung Setia dan anak-anak kampung di sekitarnya.
Pada tahun 1993 Allahyarham Awang Makmun bin Masri daripada aliran Silat Gelombang 12 turut menggabungkan diri dengan PSPSG41.


Sejak awal tahun 90an, di bawah pimpinan Mejar (B) Rusli bin Bujang, PSPSG41 mula mengembangkan sayapnya dan membuka gelanggang di sekolah-sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat kemasyarakatan di seluruh negara.
PSPSG41 kini menjadi persatuan silat moden dan menjadi model kepada persatuan-persatuan silat lain di Negara Brunei Darussalam.
Moden dalam erti kata, PSPSG41 mempunyai pengurusan dan pentadbiran, sukatan dan modul persilatan, kegiatan tahunan dan ujian kenaikan arat yang sistematik.
Malah pada tahun 1992 Yang Amat Mulia Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh bin Pengiran Haji Rajid, Yang Dipertua, PERSIB ketika itu mengisytiharkan PSPSG41 sebagai “Perguruan Contoh”.
Matlamat dan tujuan PSPSG41 ditubuhkan ialah mengetengahkan aliran Silat Brunei Darussalam khususnya PSPSG41, menjadi jambatan antara masyarakat kepada Pencak Silat, memartabatkan Pencak Silat ke tahap yang selayaknya, memanfaatkan disiplin Pencak Silat sebagai wahana pengembangan insan, menggunakan Pencak Silat sebagai media untuk menzahirkan konsep MIB dan menampilkan Pencak Silat sebagai salah satu komponen aktif dalam proses pembangunan agama, bangsa dan negara
Sehingga ke hari ini PSPSG41 lebih cenderung untuk bergiat dalam bidang seni dan bela diri. Dengan prestasi cemerlang dalam kedua-dua bidang ini, PSPSG41 sepanjang dekat 90-an kerap kali dihantar untuk mewakili negara di dalam kejuaraan serantau dan antarabangsa, termasuklah Kejuaraan Pencak Silat Dunia, 1987 di Kuala Lumpur, 1992 di Jakarta, 1994 di Thailand, Festival Silat Nusantara, Sukan SEA, dan Sukan Universiti ASEAN.
Pada tahun 1998 YDP PSPSG41 telah dipilih oleh PERSIB sebagai wakil rasmi Brunei Darussalam untuk menyusun jurus pencak silat PERSILAT (Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa) yang kini dikenali sebagai Jurus Tunggal.
PSPSG41 diperkenalkan dan disusun sendiri oleh tokoh-tokoh persilatan tempatan.
Di sebalik sistem pertahanan yang nampak agresif ini, PSPSG41 pada intinya mempunyai potensi yang besar untuk membentuk pesilat atau pengamal bela diri yang berani mengharungi kehidupan seharian dengan penuh keyakinan.
Dalam masa yang sama berani pula untuk mengakui, mengenal pasti, dan memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri yang ada demi untuk kesejahteraan hidup ahli PSPSG41 secara keseluruhannya.
Dengan erti kata lain di samping menjadi alat bela diri Pencak Silat PSPSG41 juga boleh menjadi alat untuk membantu memperkasa mental dan emosi individu, menjadikan diri sebagai alat untuk mengawal dan menenteramkan keadaan, menimbulkan keyakinan dan semangat untuk menghadapi sebarang bentuk halangan.