Sunday, February 2, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyangak Upahan sedia bantu awda jadi hero

    IPOH, 2 FEB – Seorang lelaki dari Malaysia telah mencetuskan kontroversi di media sosial apabila mengumumkan perkhidmatan yang unik –  berlakon menjadi ‘penyangak’ yang mengganggu pasangan pelanggan.

    Oddity Central melaporkan, Shazali Sulaiman, 28, menarik perhatian media sosial Malaysia melalui perkhidmatan ‘penyangak upahan’ yang membolehkan pelanggan mempamerkan kejantanan mereka dan seterusnya ‘menyelamatkan’ pasangan atau cinta romantis mereka.

    Ramai memberitahu penampilan Shazali seperti gangster dengan rambut panjang yang tidak terurus serta berpakaian seperti penunggang motor, telah memberi inspirasi untuknya memulakan perkhidmatan tersebut.

    Pelanggan boleh menetapkan masa dan tempat di mana dia akan muncul untuk ‘mengganggu’ pasangan mereka, sebelum pelanggan sendiri akan berpeluang campur tangan dan menyamar sebagai wira untuk menyelamatkan keadaan. Sama seperti dalam kebanyakan cerita dongeng.

    “Awda bosan apabila pasangan awda fikir awda lemah? Dengan bayaran yang berpatutan, saya boleh membantu awda ‘membuktikan’ mereka salah,” tulis Sulaiman dalam catatan media sosial untuk menarik perhatian kepada perkhidmatan terbaharunya.

    “Cuma beritahu masa dan tempat, saya akan muncul untuk ‘mengganggu’ pasangan awda, memberi awda peluang untuk bertindak sebagai wira dan tewaskan saya.”

    Perkhidmatan ‘penyangak untuk disewa’ Shazali Sulaiman berharga RM100 pada hari bekerja dan RM150 ringgit pada hujung minggu. Jika pelanggan memilih lokasi di luar Ipoh, tempat asalnya, kos perjalanannya akan dikenakan.

    Sulaiman menggambarkan satu episod perkhidmatannya baru-baru ini di sebuah pusat beli-belah di Ipoh apabila mengatakan, “Lelaki itu pergi ke bilik air, saya berpura-pura ‘mengganggu’ teman wanitanya. Apabila dia balik, dia berdepan dengan saya seperti hero.”

    Perkhidmatan unik Shazali menyebabkan dua reaksi – mereka yang memuji Sulaiman kerana berfikir di luar kotak dan kreatif dalam perniagaan, dan juga mereka yang mengkritiknya kerana melanggar undang-undang dengan ‘mengganggu’ orang.

    Shazali menjawab kritikan padanya dengan menjelaskan, “Ini semua hanyalah lakonan, seperti WWE (gusti). Tiada sesiapa pun yang akan cedera, Cuma saya sahaja satu-satunya yang ‘kalah’.” – Agensi

    Shazali, penyangak upahan sedia berkhidmat. – Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda