Sunday, July 13, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyangkut baju dua dalam satu

    Oleh Amri HTZ

    Sebagai seorang tukang kayu, mereka sesuatu perhiasan bukanlah perkara yang sukar dengan peralatan yang dimiliki.

    Selain untuk kegunaan sendiri, perhiasan yang direka juga boleh dijadikan hadiah kepada seseorang.

    Rekaan khusus mengikut minat klien akan menjadikan hadiah yang diberikan akan menjadi lebih bermakna. Di samping memiliki ciri-ciri yang diminati oleh klien, kreativiti tersendiri juga boleh diserlahkan dalam rekaan tersebut sebagai tambahan dan kepelbagaian.

    Sediakan barangan penting

    Sebelum memulakan projek mereka rak dinding penyangkut baju ini, barangan yang perlu disediakan adalah sekeping papan berukuran 1” x 10” x 6’, lima tukul, dua sesiku, mesin router, skru, mata gerudi (sesuai untuk skru yang digunakan), gerudi, pen penanda, mesin pemotong kayu atau gergaji bulat, kertas pasir 800 grit dan 1,500 grit, woodoil atau varnis dan pita pengukur serta mesin ketam kayu.

    Penyangkut baju yang sudah siap direka.
    Antara barangan yang diperlukan untuk mereka rak penyangkut baju.
    Bahagian sesiku yang perlu ditebuk bagi memudahkan proses pemasangannya sebagai rangka sokongan rak.

    Proses rekaan perlu tumpuan

    Papan yang telah disediakan untuk projek ini perlu dipotong mengikut ukuran diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu meja.

    Kelebaran papan 10” akan dipotong menjadi 9” mengikut kesesuaian sesiku yang digunakan. Membiarkannya dengan ukuran asal tertakluk kepada panjang sesiku bagi memastikan ia seimbang apabila siap nanti.

    Setelah memotongnya, panjang papan akan dibahagi kepada dua lebih kurang 3’. Langkah pemotongan papan tadi akan menjadikannya dua bahagian iaitu untuk bahagian atas dan belakang rak. Keseluruhan permukaan papan ini akan diratakan menggunakan mesin ketam atau secara manual juga tertakluk kepada keadaan permukaan papan yang digunakan.

    Jika ia agak kasar (dibeli dalam keadaan tidak diketam) ini memerlukan awda untuk meratakannya.

    Permukaan kayu yang telah rata kemudiannya akan dibentuk sudut potongannya (sudut hujung kayu) menggunakan mesin router dengan bentuk membulat.

    Di sini awda mempunyai pilihan untuk membentuk sudut hujung kayu menggunakan mata mesin router berlainan mengikut keinginan. Sudut hujung kayu yang hendak dibentuk hanyalah di kawasan bukan sudut percantuman kayu.

    Setelah membentuk sudut kayu, langkah seterusnya adalah menebuk papan bahagian cantuman bagi menempatkan skru. Kedudukan sudut percantuman papan di bahagian atas perlulah ditempatkan di bahagian permukaan depan papan yang satu lagi sekali gus menjadikannya bentuk ‘L’ atau 90 darjah. Sebelum mencantumkannya, bahagian tersebut perlu ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran 0.25mm bagai memudahkan proses memasukkan skru.

    Bagi papan utama untuk menempatkan kepala tukul juga perlu ditebuk dahulu bagi memudahkan proses memasukkan skru. Sebelum melakukannya, tanda kawasan yang hendak ditebuk menggunakan mata gerudi dengan jarak 7.2 inci setiap satu kepala tukul yang akan digantung.

    Tukul-tukul yang disediakan akan dipotong dengan panjang 4” atau 5” tertakluk kepada bentuk lengkungan kepala tukul yang digunakan. Sudut potongan pula memerlukan awda memotongnya 35 darjah bagi memberikan kedudukan mencondong untuk memudahkan menggantung pakaian. Permukaan potongan batang tukul kemudiannya perlu dibersihkan menggunakan kertas pasir. Ketika proses pemasangan, pastikan kedudukan kepala tukul dengan bentuk membulat menghala ke bahagian atas.

    Bagi mengukuhkan kedudukan rangka rak, bahagian sisinya akan dipasangkan dengan sesiku yang diperbuat daripada besi. Tebuk bahagian cantuman atas dan bawah sesiku menggunakan mata gerudi 0.4mm dan kekalkan kedudukannya (dryfit) menggunakan skru dengan memberikan ruangan 1 ½” dari bahagian hujung kayu di kedua-dua sudut.

    Lakukan proses mencantumkan keseluruhan rangka rak dengan menyapukan keseluruhan permukaan cantuman (yang diperbuat daripada kayu) bagi memastikannya cukup kukuh walaupun dengan hanya menggunakan skru mencukupi.

    Permukaan kayu rak yang telah siap dicantumkan akan disapukan menggunakan woodoil atau varnis. Terlebih dahulu tanggalkan rangka sokongan (sesiku) bagi mengelakkannya mengganggu proses mengecat. Pilih warna yang bersesuaian dengan jenis kayu yang digunakan atau tema sesebuah ruangan. Sapukan beberapa lapisan pelindung kayu dengan memberikan masa untuknya mengering bagi setiap lapisan. Jika awda menggunakan cat yang bukan berasaskan air (waterbase), pastikan awda menggunakan penutup hidung dan mulut bagi menggelakkan terhidu bahan berbahaya daripadanya. Selain itu, melakukannya di tempat yang terbuka turut disyorkan.

    Setelah cat mengering, langkah terakhir ialah memasangkan semula bahagian sokongan (sesiku) rak. Jika awda memiliki metal stamp, mengecapnya boleh dijadikan kenangan si penerima hadiah selain boleh menjadikan rekaan seolah-olah dilakukan oleh seorang yang profesional. Dengan hadiah rekaan sendiri ini, kata-kata berterima kasih daripada si penerima setentunya akan memuaskan hati sendiri!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda