Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyanyi dikir barat, rakan direman di Thailand kerana dadah

    NARATHIWAT, 4 NOV – Enam orang rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang ditahan Jumaat lepas kerana disyaki memiliki dadah dihadapkan ke Mahkamah Narathiwat, hari ini untuk proses permohonan reman.

    Kesemua suspek yang berusia antara 25 dan 34 tahun itu di dihantar dari lokap Balai Polis Sungai Golok ke mahkamah sekitar pukul 10:30 pagi. Mereka kemudian dipindahkan ke Penjara Narathiwat selepas proses permohonan reman selesai petang hari ini.

    Terdahulu, lebih 50 orang awam difahamkan merupakan ahli keluarga dan rakan-rakan suspek telah hadir di mahkamah seawal pukul 8 pagi waktu tempatan.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kol. Pol. Jedsadavit Ingprapan berkata selain kesalahan memiliki dadah, mereka juga disiasat atas kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah.

    Difahamkan, kesemua suspek akan ditahan di Penjara Narathiwat selama 84 hari atau kira-kira tiga bulan sementara menunggu tarikh pendakwaan.

    Dalam tempoh penahanan itu, ahli keluarga suspek boleh memohon ikat jamin untuk mereka, namun kelulusan tertakluk kepada keputusan Mahkamah selepas pelantikan peguam yang akan mewakili suspek.

    Kesemua enam orang suspek ditahan di dalam satu serbuan Bahagian Narkotik Balaik Polis Sungai Golok di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok pada pukul 5 pagi atas kesalahan memiliki dadah.

    Hasil siasatan polis mendapati suspek-suspek berkenaan memiliki 6,000 biji pil jenis ‘pil kuda’ dan memasuki Thailand tanpa dokumen sah. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda