Penyanyi Jay Jay atau Mohd Fauzi Darus dilaporkan meninggal dunia di Hospital Thompson Kota Damansara, Selangor pada pukul 9.27 malam kelmarin.
Berita duka pemergian penyanyi berusia 67 tahun itu disahkan rakan artis iaitu Datuk Hattan yang menerima perkhabaran itu daripada isteri Jay Jay dikenali sebagai Zaitoon.
“Ya saya dapat bercakap dengan isterinya. Jay Jay meninggal dunia kira-kira pukul 9.27 malam,” katanya ringkas kepada mStar.
Jenazah dijangka akan disolatkan di Masjid Al-Husna Bandar Sunway pada pagi Isnin dan dikebumikan sebelum Zohor.
Pada 23 Mei lalu, Jay Jay menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Selepas menjalani pembedahan, penyanyi berkenaan diserang angin ahmar dan meneruskan rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor.
Pada Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan kepada penyanyi berkenaan. Dalam pertemuan itu, Anwar turut menitipkan doa agar Jay Jay kembali sihat seperti sedia kala.
Untuk info, Jay Jay melibatkan diri dalam dunia seni dengan menjadi vokalis dan pemain bass untuk kumpulan Carefree. – Agensi
