Penyanyi popular era 50an Connie Francis meninggal dunia pada usia 87 tahun akibat masalah kesihatan.
Memetik laporan mStar, berita duka itu disahkan pengurus label muzik Concetta Records iaitu Ron Roberts menerusi Facebook miliknya.
“Dengan berat hati, saya ingin maklumkan bahawa rakan baik saya Connie Francis telah pun meninggal dunia malam tadi (Rabu).
“Saya yakin beliau (Francis) mahu peminatnya menjadi antara yang pertama mengetahui berita (kematian) ini,” tulisnya.
Pada 2 Julai lalu, Francis menerusi akaun media sosial miliknya memberitahu peminat bahawa dia dimasukkan ke hospital dan tidak dapat membuat persembahan nyanyian pada 4 Julai lalu.
Beberapa hari kemudian, penyanyi berkenaan memaklumkan tahap kesihatannya semakin baik dan masih berada di bawah pengawasan doktor.
Lagu nyanyian Francis iaitu Pretty Little Baby baru-baru ini menjadi tular di laman TikTok selepas 63 tahun dirakamkan.
Francis turut merakamkan beberapa lagu popular termasuk Don’t Break The Heart That Loves You, My Heart Has A Mind of Its Own dan Where The Boys Are.
Mendiang turut pernah mencipta sejarah menjadi penyanyi wanita pertama berjaya menduduki carta nombor satu Billboard Hot 100 menerusi lagu Everybody’s Somebody’s Fool pada 1960. – Agensi
