Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Penyata pemberian khas interim Sabah dijangka dibentang

    KUALA LUMPUR, 30 OKT – Penyata pemberian khas interim Sabah sebanyak RM300 juta dijangka dibentang di Parlimen pada sidang kali ini seperti yang dilakukan tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

    Beliau berkata Kementerian Kewangan kini dalam proses melakukan prosedur yang sepatutnya.

    “Sekiranya disebut tentang semakan pemberian khas, ia mestilah terkait dengan perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang syaratnya adalah mesti diwartakan melalui Perintah Undang-undang.

    “Kalau tidak melibatkan pewartaan itu bukanlah kadar semakan khas dan pastinya saya yakin Kementerian Kewangan akan melakukan prosedur,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kadar pemberian khas secara interim ditingkatkan pada kadar bermula RM300 juta dan berkuatkuasa serta-merta bagi 2023.

    Sementara itu, Armizan berkata setakat ini belum ada persetujuan muktamad antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak berhubung formula semakan kadar pemberian khas setakat ini.

    Beliau berkata kerajaan Sabah tetap dengan pendirian kadar perlu ditetapkan berdasarkan hak perlembagaan di bawah Perkara 112C (1) (a) dan Perkara 2(1) Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu kadar 2/5 atau 40 peratus daripada hasil yang diperoleh oleh Persekutuan di Sabah. – Bernama

    Datuk Armizan Mohd Ali ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...