Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kem. Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Negara Brunei Darussalam telah mencapai beberapa kemajuan dalam kesihatan yang ketara daripada peningkatan jangka hayat, penghapusan cacar, malaria, polio, campak dan rubela serta kepada liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus.
Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menyampaikan ucapan pada sesi pleno semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-76 di Geneva, Switzerland, baru-baru ini.
Delegasi Negara Brunei Darussalam yang menghadiri perhimpunan yang bermula dari 21 hingga 30 Mei, diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kesihatan serta disertai oleh Perwakilan Tetap Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland, Puan Yang Terutama Dayangku Mazlizah binti Pengiran Haji Mahalee; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui serta beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato mengetengahkan dua isu penting yang akan mereka bentuk kesihatan awam pada masa hadapan yang mana antaranya, tindak balas terhadap COVID di kebanyakan negara telah pun mencetuskan kemajuan yang ketara dalam bidang kesihatan digital.
“Di Negara Brunei Darussalam, pecutan yang paling ketara ialah penggunaan aplikasi mudah alih kesihatan, BruHealth, yang kini mempunyai liputan melebihi 90 peratus penduduk, pengurusan infrastruktur data kesihatan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Dua inisiatif utama, ulas Yang Berhormat Dato lagi, telah dilaksanakan iaitu penubuhan hab perisikan yang bertanggungjawab untuk mengautomasikan aktiviti pengawasan dan tindak balas kesihatan kebangsaan serta penubuhan Unit Digital Kesihatan untuk menyelaraskan transformasi kesihatan digital di seluruh perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Seterusnya dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyuarakan isu penting pada zaman media sosial kini yang semakin meningkat dan mesti ditangani iaitu penyebaran maklumat yang salah yang boleh memusnahkan kepercayaan, menjejaskan kesihatan dan menggalakkan konflik.
“Negara Brunei Darussalam sedang bekerjasama dengan pihak WHO untuk mengukuhkan fungsi unit behavioural insights, untuk memahami tingkah laku individu, memudahkan perpaduan masyarakat dan menjana kepercayaan kepada isu berkaitan kesihatan,” tambahnya.
Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-76 yang membawa tema, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 75: Menyelamatkan Nyawa, Memacu Kesihatan untuk Semua, dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil dari negara-negara anggota WHO.
Perhimpunan tersebut membincangkan mengenai isu kesihatan awam dan global yang penting termasuk berkaitan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, tenaga kerja kesihatan, tindakan dan kesiapsiagaan kepada kecemasan kesihatan awam serta strategi-strategi global mengenai kesihatan.
Yang Berhormat Dato juga diberikan penghormatan untuk dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Komiti A, iaitu komiti yang meneliti agenda-agenda teknikal semasa perhimpunan berkenaan.