Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kini dalam peringkat akhir penyediaan garis panduan baharu pengagihan zakat, selaras dengan keperluan sosial semasa dan realiti kontemporari masyarakat hari ini.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini, sebagai menjawab pertanyaan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed berhubung semakan semula garis panduan pengagihan zakat kebangsaan.
Menurut Yang Berhormat Pehin, agihan zakat pada masa ini masih berpandukan dasar-dasar yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), termasuk Panduan Pengertian dan Kriteria-kriteria Kelayakan Asnaf-asnaf (2008 dan 2014); dan Garis Pandu Agihan Wang Zakat Asnaf Fakir dan Miskin (semakan 2018 dan 2022).
Garis panduan itu digunakan oleh Jawatankuasa Mengeluarkan Wang Zakat (JMZ), MUIB sebagai asas dalam penilaian permohonan zakat, namun dengan mengambil kira keadaan-keadaan tertentu berdasarkan hukum syarak.
Kementerian kini melalui Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) serta Jabatan Perundangan Islam, sedang menyiapkan satu garis panduan agihan zakat baharu yang merangkumi pengertian dan objektif agihan zakat, kriteria kelayakan asnaf, elemen dan keperluan had Al-Kifayah (keperluan asas minimum) dan syarat permohonan dan kategori skim agihan.


Penyediaan garis panduan baharu ini juga mengambil kira rujukan daripada pelbagai dasar dan sumber antaranya Peraturan Zakat dan Fitrah 1969 di bawah Undang-undang Ugama dan Mahkamah-mahkamah Kadi 1955, Laporan Kos Minima Keperluan Asas (KMKA) 2015 berdasarkan Kajian Perbelanjaan Keluarga (KPK) 2015/16 oleh JPKE, Fatwa Mufti Kerajaan (Februari 2009), OECD Modified Scale, Garis Pandu Sumbangan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa garis panduan baharu tersebut kini sedang dinilai dari segi impak implementasi dan penggunaannya, sebelum dikemukakan kepada pihak MUIB untuk pengesahan dan kelulusan rasmi.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha KHEU untuk memastikan sistem pengagihan zakat negara lebih responsif, inklusif dan berpaksikan keperluan semasa masyarakat, termasuk aspek makanan, kesihatan dan keperluan tenaga bagi asnaf yang layak.

