Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyediaan modal dorong belia terlibat bidang pertanian

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Usaha-usaha yang dilaksanakan oleh agensi-agensi berkepentingan seperti penyediaan modal permulaan bagi para belia dan lepasan graduan dapat memberikan peluang kepada mereka untuk menggunakan teknologi moden dalam industri tanaman.

    Oleh itu, diharapkan menerusi inisiatif-inisiatif seperti itu, akan dapat menggalakkan lagi penyertaan anak tempatan untuk bergiat aktif menceburkan diri dalam industri pertanian secara kolaboratif, inklusif dan inovatif.

    Penghargaan dan harapan itu disuarakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck dalam ucapannya menyokong usul menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam permesyuaratan MMN yang bersidang untuk hari kedua di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Lau How Teck mengatakan titah Baginda itu amat dijunjung tinggi dan inti patinya sangat padat dengan nasihat yang mencerminkan keprihatinan dan kebijaksanaan Baginda dalam memastikan keamanan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, terutama penekanan terhadap sektor bukan minyak dan gas seperti subsektor pertanian, sebagai salah satu usaha dalam meneruskan, mempelbagaikan dan mempertingkatkan ekonomi negara.

    Sementara itu, Yang Berhormat Chong Chin Yee dalam ucapan menyokong usul menjunjung kasihnya menekankan pentingnya ekonomi digital di mana menurut Setiausaha Agung ASEAN, menjelang 2030, ASEAN akan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dengan ekonomi digitalnya dijangka berkembang daripada kira-kira AS$300 bilion kepada hampir AS$1 trilion.

    Yang Berhormat Lau How Teck semasa menyampaikan usul menjunjung kasih pada hari kedua persidangan MMN ke-20.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Beliau seterusnya menyatakan Pelan Induk Digital 2025 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menggambarkan bahawa ekonomi digital adalah pemacu penting dalam mengubah Brunei menjadi negara pintar dengan sokongan kerajaan digital, ekonomi digital dan masyarakat digital.

    Yang Berhormat Chong Chin Yee berkata, “Pelan Tindakan Ekonomi Negara Brunei Darussalam 2025 juga bertujuan untuk mencapai pembangunan ekonomi yang mampan iaitu kerajaan telah merancang untuk mengembangkan sektor bukan minyak dan gas melalui penerokaan aktiviti ekonomi baharu dan peningkatan lima sektor utama seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).”

    Beliau berkata walaupun potensi pertumbuhan ekonomi digital Brunei memberangsangkan, penelitian bersama kesan ekonomi terhadap inisiatif transformasi digital serta pemantauan kemajuan ekonomi digital adalah penting untuk dititikberatkan melalui strategi nasional yang komprehensif.

    Lonjakan penggunaan digital, tegasnya lagi, secara tidak langsung akan meningkatkan ancaman siber yang tidak dapat dielakkan.

    “Peningkatan ketara dalam kerugian dan penipuan global atau scam telah mendesak pihak berkepentingan untuk membuat strategi dalam menangani jenayah siber secara komprehensif,” tambahnya.

    Di samping itu, cabaran berkenaan juga secara tidak langsung akan dapat membuka peluang pekerjaan dalam sama-sama menangani isu jenayah siber dalam dunia digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda