GUWAHATI, 7 JAN – Pasukan penyelamat India, termasuk penyelam tentera, bertungkus-lumus hari ini untuk menyelamatkan beberapa pelombong arang batu yang terperangkap di bawah tanah selepas lombong mereka dibanjiri air sehari sebelumnya, kata pegawai penyelamat.
Laporan menyebut sembilan orang masih terperangkap dalam lombong, dan tiga mayat telah ditemui, menurut laporan penyelamat.
Penduduk tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 27 pekerja memasuki lombong pada pagi kelmarin di wilayah Dima Hasao, negeri Assam, di timur laut India. Ramai daripada mereka berjaya melarikan diri ketika air membanjiri kawasan lombong tersebut.
Menteri Kerajaan Negeri, Kaushik Rai, memberitahu AFP bahawa lebih 100 penyelamat termasuk anggota tentera sedang berusaha untuk menyelamatkan pelombong yang terperangkap. – AFP