Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelam temui mangsa kebakaran

    ATHENS, 31 Julai – Penyelam Pengawal Pantai Greece telah menemui mayat seorang lagi mangsa insiden kebakaran 2 Julai lepas yang berlaku di Attica Timur, menjadikan jumlah kematian setakat ini ialah 92 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita nasional Greece AMNA semalam.

    Dua puluh lima orang masih hilang dalam insiden kebakaran yang melanda kawasan peranginan pantai, kira-kira 30 kilometer di timur Athens.

    ‘’Kerajaan akan memulihkan kawasan yang terjejas akibat kebakaran dan membantu mangsa yang cedera dengan mengguna pakai prosedur pantas yang mudah dan tanpa karenah birokrasi.

    Mulai hari ini, mereka yang cedera akibat kebakaran boleh memohon bantuan kewangan,’’ kata jurucakap kerajaan Dimitris Tzanakopoulos dalam satu taklimat akhbar semalam. Satu siasatan berhubung punca tragedi maut paling dahsyat di Greece dalam tempoh sedekad sedang berjalan semasa pihak kerajaan pusat, pihak berkuasa perbandaran dan parti pembangkang saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain berkaitan faktor-faktor yang membawa kepada bencana itu.

    Orang berhimpun di luar parlimen Greece di Athens bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam kebakaran ganas di Greece, kelmarin. – AFP

    Datuk Bandar Rafina-Pikermi, Evangelos Bournous, telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam di depan seorang pendakwa raya diikuti Datuk Bandar Marathon, Ilias Psinakis, hari ini manakala saman pertama berhubung kebakaran itu telah difailkan semalam kepada Ketua Pendakwa Mahkamah Rayuan Athens.

    Melalui saman itu, pegawai tentera laut yang sudah bersara, Panagiotis Stamatis, telah menggesa agar mereka yang bertanggungjawab didakwa, termasuk menteri, kakitangan kementerian, para pegawai pihak berkuasa Attica yang dilantik, majlis perbandaran dan lain-lain, atas kesalahan membunuh, keabaian tugas dan pelanggaran peraturan sehingga menyebabkan kematian.

    Antara lain, Stamatis berkata tiada seorang pun daripada pihak berkuasa yang memberi arahan agar penduduk Kampung Neos Voutzas dan pekan Mati dipindahkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda