Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelam tentera laut Australia mungkin cedera akibat sonar China

    BEIJING, 19 NOV – Australia pada kelmarin menuduh tentera laut China berkemungkinan menyebabkan kecederaan ringan kepada penyelam tentera laut Australia dengan mengendalikan sonarnya ketika mereka cuba membersihkan jaring ikan dari kipas kapal mereka.

    Kerajaan Australia telah menyuarakan kebimbangan seriusnya kepada kerajaan China atas apa yang disebutnya sebagai kelakuan tidak selamat dan tidak profesional awal minggu ini, kata Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles dalam satu kenyataan di laman web rasminya.

    Tiada komen segera dari pihak China. Tentera Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia telah mengadu beberapa kali tentang apa yang mereka katakan sebagai tindakan berbahaya oleh tentera laut dan udara China di barat Pasifik. Penganalisis bimbang perlanggaran atau kemalangan lain boleh mencetuskan insiden antarabangsa dan meningkat kepada konflik.

    HMAS Toowoomba berhenti di perairan antarabangsa pada hari Selasa lalu di zon ekonomi eksklusif Jepun selepas jaring ikan tersangkut pada kipasnya, kata kenyataan menteri pertahanan. Frigat tentera laut telah membantu menguatkuasakan sekatan PBB di rantau itu.

    Ketika operasi menyelam sedang dijalankan, sebuah kapal pemusnah China bergerak ke arah kapal Australia dan dikesan mengendalikan sonar yang dipasang di badan kapal dengan cara yang menimbulkan risiko kepada penyelam dan memaksa mereka keluar dari air, kata kenyataan itu.

    “Penyelam … mengalami kecederaan ringan berkemungkinan disebabkan oleh denyutan sonar dari kapal pemusnah China,” tambahnya.

    Sonar menggunakan gelombang bunyi untuk mendapatkan imej di dalam air. Pada tahap yang tinggi, mereka boleh menyebabkan pening, kerosakan pendengaran dan kerosakan organ lain.

    Ahli Parti Liberal pembangkang, Senator Australia James Paterson, menyatakan insiden itu berlaku sejurus selepas lawatan Perdana Menteri, Anthony Albanese ke Beijing untuk memperbaiki hubungan negaranya dengan China.

    “Di satu pihak, China berkata ia mahukan hubungan yang lebih baik dengan Australia dan sebaliknya ia melakukan gerakan berbahaya yang membahayakan keselamatan kakitangan Australia,” katanya kepada pemberita. – AP

    Richard Marles berkata Kerajaan Australia telah menyuarakan kebimbangan seriusnya kepada kerajaan China atas apa yang disebutnya sebagai kelakuan tidak selamat dan tidak profesional awal minggu ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda