ALONNISOS, GREECE – Muncul dari perairan jernih warna firus di Laut Aegean, Hans-Juergen Fercher baru sahaja kembali daripada selaman keempatnya di mana timbunan bekas wain berusia 2,400 tahun menandakan tapak bangkai kapal lama – dan muzium di bawah permukaan air pertama di Greece.
“Ia merupakan kombinasi penyelaman dan penyelaman arkeologi. Ia menyelam ke dalam sejarah,” kata pakar psikiatri berusia 48 tahun itu selepas memanjat di atas dek kapal menyelam Triton. “Ia menjadikannya istimewa dan unik.”
Muzium yang terletak di bawah ombak di Peristera, singkapan batu di luar pulau Alonissos, dibuka pada 2020, walaupun tapak itu sebahagian besarnya telah ditangguhkan sehingga sekarang disebabkan sekatan COVID-19.
Ketika Greece membuka industri pelancongannya, tapak itu menawarkan satu contoh sumber pendapatan baharu dan lebih mampan.
Penyelam seperti Fercher dan pembuat bilik wain bawah tanah Belanda, Lisette Fredelund, rela membayar 95 euro (AS$110) untuk satu selaman – kira-kira 50 peratus lebih daripada kos aktiviti skuba rekreasi biasa – untuk kunjungan ke tapak yang pernah menjadi aktiviti pakar arkeologi profesional sebelum ini.

“Ia amat menakjubkan,” kata Fredulund. “Ketika kami berada di bawah sana, saya cuba membayangkan apa rasanya berada dalam kapal yang membawa wain.”
Lebih banyak bangkai kapal karam telah ditemui di kawasan tersebut – di pertengahan simpanan marin terbesar negara – memberikan prospek lebih banyak muzium seumpama itu akan dibuka tidak lama lagi.
Greece telah menjadikan aktiviti menyelam sebahagian daripada fokusnya untuk menarik pelawat sejak undang-undang diluluskan pada 2020 membenarkan tapak tersebut diakses, beritahu Menteri Pelancongan Harry Theoharis kepada AFP.
“Ia adalah pelancongan yang menarik orang sepanjang tahun, pengunjung khas yang membayar bayaran lumayan untuk menyelam,” kata beliau, menambah 10 taman selam baharu telah pun bersedia untuk diberikan lesen di bawah proses yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Menaiki kapal Triton, sekumpulan enam pelawat memakai pakaian skuba mereka dan terjun ke dalam laut, mengikut jurupandu mereka. Kira-kira 300 orang telah membayar untuk melawat bangkai kapal sejak muzium itu dibuka, menurut datuk bandar Alonissos, Petros Vafinis.
Vafinis sendiri seorang penyelam skuba – menyertai sekumpulan pelancong ketika seorang demi seorang terjun dari belakang dek Triton ke dalam laut.
Kesemua pelawat mesti terlebih dahulu menghadiri taklimat mengenai tapak serta peraturan ketat, seperti mengekalkan jarak dua meter daripada artifak.
Selepas berenang tidak jauh dari bot, jurupandu akan memimpin kumpulan penyelam ke bawah dengan berpandukan cahaya lampu suluh dan kesejukan suhu menuju ke dasar laut hampir 30 meter di bawah permukaan air. – AFP