Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Penyertaan Unified National Networks (UNN) Sdn Bhd dalam Ekspo Mobiliti Pintar Brunei 2023 yang berlangsung di BRIDEX Jerudong, baru-baru ini, telah memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengetahui rangkaian produk dan perkhidmatan berkaitan IT selain mengongsikan perkara yang dipercayai boleh menjadi blok binaan untuk Smart X.
Smart X adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan ekosistem pintar, merangkumi penyelesaian berautonomi serta sistem-sistem yang mengubah industri dan negara secara digital menjadi masa depan yang lebih produktif, cekap dan mampan.
Semasa ekspo itu, Pengurus Program dan Eksplorasi Digital UNN, Vernon Yong telah menekankan visi UNN untuk menjadi platform digital perintis bagi menghubungkan negara dan menjadi perkhidmatan ICT yang dipercayai dalam memacu pertumbuhan dan inovasi bagi industri.
Setakat ini, 93.1 peratus daripada kawasan penduduk Brunei mempunyai gentian dengan kelajuan jalur lebar rumah meningkat sebanyak 400 peratus daripada purata 20Mbps pada 2019 kepada minimum 100Mbps pada 2023.
Manakala itu, 92 peratus negara pula dilengkapi untuk menerima perkhidmatan mudah alih daripada stesen pangkalan yang menyediakan perkhidmatan 5G dengan purata kelajuan Internet mudah alih meningkat sebanyak 300 peratus daripada 20Mbps pada 2019 kepada 80Mbps pada 2023 Vernon Yong seterusnya berkata, “Peningkatan dalam liputan bermakna peningkatan dalam cara asas untuk menghubungkan semua orang dengan yang lain, dan ia juga merupakan blok binaan yang pertama ke arah Smart X.”

UNN seterusnya telah memulakan lonjakan besar dalam visi digital dengan pembinaan salah satu pusat data paling maju di Asia Tenggara pada Mac lalu.
Kemudahan pusat data seluas 51,000 kaki persegi yang diperakui oleh antarabangsa itu dilengkapi dengan teknologi terkini dan sistem berlebihan yang dijangka akan menghoskan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan pada awal suku tahun 2024.
Vernon Yong berkata, “Rangka kerja keselamatan siber berdaya tahan yang disokong oleh infrastruktur IT yang canggih untuk menghoskan dan mengurus data secara digital merupakan blok binaan kedua dan ketiga untuk Smart X kerana ia memastikan evolusi yang selamat dan memupuk daya tahan dalam masyarakat kita yang saling berhubung dan maju dari segi teknologi.”
Ke arah mencapai visi Smart X, tambahnya, perlu menghubungkan semua orang dan yang berkaitan dengan digital yang disokong oleh infrastruktur IT dan diperkukuh oleh langkah keselamatan siber.
Ekspo berkenaan dianjurkan oleh Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya serta disokong oleh UNN.

