Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelesaian digital ke arah perjalanan lebih lancar di ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Projek ASEAN Digital Gateway and Travel Wallet dilancarkan dengan matlamat untuk memudahkan sebuah pendekatan yang lebih selamat, selaras dan lancar kepada menyambung semula perjalanan serantau.

    Inisiatif itu diumumkan oleh Pengerusi Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN 2021, Dayang Haslina binti Haji Mohd Taib, sebagai projek warisan kedua oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) semasa Sidang Kemuncak Pelaburan dan Perniagaan ASEAN (ABIS) 2021 yang berlangsung secara maya, hari ini.

    Dengan memanfaatkan teknologi digital, penyelesaian itu akan menangani isu-isu yang sering dihadapi oleh pengembara atau pelancong seperti membawa atau tersalah tempat menyimpan pelbagai dokumen, kerisauan berhubung perkongsian data antarabangsa atau risiko tidak dibenarkan masuk di sempadan disebabkan protokol kesihatan yang tidak konsisten di negara-negara berbeza.          

    Dalam ucapannya, Dayang Haslina menyatakan bahawa penyelesaian itu adalah hasil daripada usaha bersama antara sektor swasta dan awam serantau sebagai respons kepada Deklarasi ASEAN bagi Rangka Kerja Koridor Perjalanan ASEAN yang dipersetujui pada Sidang Kemuncak ASEAN 2020.

    Aplikasi ASEAN Travel Wallet akan menyediakan para pengembara atau pelancong dengan nilai tambah dan kemudahan pengalaman pengguna pada peranti pintar mereka untuk mendapatkan, akses, menyimpan dan mempamerkan rekod vaksinasi serta kesihatan bagi pengesahan yang cepat dan bebas daripada masalah di negara-negara destinasi.

    Hanya data awam yang relevan seperti pengenalan rakyat, jenis vaksinasi, tarikh dan tempoh sah serta/atau tarikh sembuh COVID-19, akan dikeluarkan melalui papan data pentadbiran kebangsaan back-end kepada setiap pemegang Wallet dalam bentuk kod QR. Set data yang serupa juga akan dikongsi kepada ASEAN Digital Gateway.

    Dayang Haslina menjelaskan bahawa ASEAN Digital Gateway merupakan platform perkongsian terbuka yang membolehkan setiap negara anggota ASEAN untuk mengawal data rakyatnya dengan hanya mengeluarkan satu kunci awam.

    Jelasnya lagi, gateway itu akan menyelaraskan protokol kemasukan perniagaan dan merentas sempadan serta pada masa yang sama, menghormati privasi data dan melindungi kepentingan masing-masing.

    ABIS 2021 menyeru bagi tindakan kolaborasi dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan pihak perniagaan untuk bersama-sama membangunkan serta melaksanakan ASEAN Digital Gateway dan Travel Wallet, yang pada masa ini di peringkat prototaip, sebagai sebuah projek pelbagai hala, untuk membuka jalan bagi pemulihan ekonomi dan koridor perjalanan yang lebih selamat di rantau ini.

    Dayang Haslina semasa ABIS 2021 yang berlangsung secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Dynamik Technologies
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda