Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelesaian komprehensif tangani krisis Rohingya

    BANGKOK, 1 OGOS – Menteri luar ASEAN mengulangi sokongan berterusan atas komitmen Myanmar untuk memastikan keselamatan semua komuniti di Rakhine, Myanmar dengan sebaik mungkin dan memudahkan kepulangan secara sukarela etnik Rohingya secara selamat, dilindungi dan bermaruah.

    Dalam Kenyataan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-52 di sini, 10 menteri luar ASEAN berharap untuk meneruskan dialog berkesan antara Myanmar dan Bangladesh bagi memudahkan proses penghantaran pulang etnik itu ke Rakhine.

    “Kami menggalakkan Myanmar untuk terus melaksanakan syor cadangan laporan akhir Suruhanjaya Penasihat mengenai Rakhine,” menurut kenyataan itu.

    Dalam mesyuarat itu, menteri luar diberi taklimat oleh Myanmar mengenai situasi kemanusiaan di Rakhine.

    Menteri ASEAN juga menggesa penyelesaian komprehensif dan berpanjangan untuk menangani punca utama krisis Rohingya dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membina semula kehidupan mereka.

    Menteri-menteri juga menjangkakan Suruhanjaya Siasatan Bebas yang ditubuhkan Myanmar akan melaksanakan akauntabiliti dengan menjalankan penyiasatan secara bebas dan adil terhadap dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan isu-isu berkaitan.

    Menteri Luar juga mengesahkan sokongan berterusan ASEAN untuk usaha Myanmar mewujudkan keamanan, kestabilan, kedaulatan undang-undang, untuk mempromosikan keharmonian dan perdamaian antara pelbagai masyarakat serta memastikan pembangunan yang mampan dan saksama di wilayah Rakhine.

    “Kami mengesahkan sokongan kami untuk peranan ASEAN yang lebih nyata.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda