Thursday, February 13, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelesaian perniagaan VADS sokong ekonomi digital Malaysia

    KUALA LUMPUR, 14 April – VADS Bhd, anak syarikat Telekom Malaysia Bhd, memperuntukkan jumlah pelaburan yang besar untuk menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia bagi menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 16.8 peratus pada masa ini.

    Tanpa menyatakan jumlahnya, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Massimo Migliuolo, berkata syarikat mempunyai pusat data yang serba moden dan menyediakan penyelesaian ke arah mentransformasikan landskap perniagaan kepada platform e-dagang.

    “Penyelesaian kami bukan sahaja bagi isu perniagaan am tetapi untuk industri – pendidikan, penjagaan kesihatan, kewangan, peruncitan serta minyak dan gas,” katanya kepada Bernama.

    Migliuolo berkata penyelesaian ini akan dapat menyediakan jaminan kualiti dan perkhidmatan kepada pelanggan.

    Beliau berkata di bawah perkhidmatan pelanggan dan concierge syarikat, vConnect, VADS mempunyai lebih 80 pakej penyelesaian perniagaan yang dikategorikan mengikut industri dan jenis penyelesaian.

    vConnect bertujuan memperkasakan penyelesaian inovatif asas nilai dan perkhidmatan yang membolehkan syarikat menumpukan kepada perniagaan teras mereka, sejajar dengan falsafah TM, “Perniagaan Lebih Mudah”.

    Sementara itu, VADS bekerjasama dengan pusat pakar keselamatan digital negara, CyberSecurity Malaysia, untuk memacu landskap keselamatan siber negara dengan meningkatkan dan mewujudkan pelbagai kesedaran mengenai pembinaan keupayaan keselamatan siber di semua segmen pasaran.

    Susulan pemeteraian perjanjian selama lima tahun, CyberSecurity, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, mewujudkan Pasaran Keselamatan Siber di Pasaran VADS. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda