MOKOPANE, 28 JUN – Penyelidik di Afrika Selatan telah menyuntik bahan radioaktif ke dalam tanduk 20 ekor badak sumbu sebagai sebahagian daripada projek penyelidikan yang bertujuan mengurangkan pemburuan haram.
Dengan cara ini, pengesan sinaran yang sudah sedia ada di sempadan negara akan mengesan tanduk dan membantu pihak berkuasa menangkap pemburu haram dan penyeludupnya.
Penyelidikan oleh doktor haiwan dan pakar nuklear itu bermula dengan haiwan itu ditenangkan sebelum lubang digerudi ke dalam tanduknya dan bahan nuklear itu dimasukkan dengan teliti.
Minggu ini, penyelidik di Unit Radiasi dan Fizik Kesihatan Universiti Witwatersrand di Afrika Selatan menyuntik 20 badak sumbu hidup dengan isotop ini.
Kami lakukan ini kerana ia lebih mudah untuk memintas tanduk semasa diseludup melintasi sempadan antarabangsa kerana terdapat rangkaian global pemantau radiasi yang telah direka untuk mencegah keganasan nuklear,” kata Profesor James Larkin, ketua projek itu.
Menurut International Union for Conservation of Nature, sebuah badan pemuliharaan antarabangsa, populasi badak sumbu global berjumlah sekitar 500,000 pada awal abad ke-20. Ia kini berjumlah kira-kira 27,000 berikutan permintaan berterusan untuk tanduk badak di pasaran gelap.
Kami perlu melakukan sesuatu yang baharu dan berbeza untuk mengurangkan pemburuan haram. Anda tahu bahawa angka ini telah mula meningkat,” kata Larkin.
Walaupun idea itu mendapat sokongan daripada sesetengah pihak, para penyelidik terpaksa mengatasi banyak halangan etika yang ditimbulkan oleh pengkritik metodologi mereka.
Pelham Jones, pengerusi Persatuan Pemilik Badak Persendirian, adalah antara pengkritik kaedah yang dicadangkan dan meragui keberkesanannya.
“(Pemburu haram) telah mencari cara lain untuk menyeludup tanduk badak keluar negara bukan melalui lintasan sempadan tradisional kerana mereka tahu kawasan itu berisiko tinggi untuk dirampas atau dipintas, ” kata Jones.
Sementara Profesor Nithaya Chetty, dekan fakulti sains di Witwatersrand pula berkata dos radioaktiviti yang digunakan adalah sangat rendah dan potensi kesan negatif terhadap haiwan itu telah diuji secara meluas. – AP