COPENHAGEN, 18 MEI – Pembuat mainan telah wujud lebih lama daripada yang diketahui ramai orang, kata seorang penyelidik Denmark kepada AFP Jumaat lalu selepas penemuan 19 permainan purba yang ada sejak kira-kira 4,500 tahun lalu.
Mette Marie Hald, pengarang bersama kajian yang memperincikan penemuan yang diterbitkan dalam jurnal saintifik Childhood in the Past, membentangkan penemuannya kepada AFP.
“Kami berpendapat ia berfungsi sebagai mainan untuk menghiburkan dan menenangkan anak damit, bukannya sebagai alat muzik, berdasarkan tahap bunyi permainan itu yang rendah dan saiz pemegangnya yang agak kecil,” kata ringkasan jurnal itu.
Hald malah mencadangkan kurator muzium perlu melihat sekali lagi koleksi mereka sekiranya objek yang pada asalnya diklasifikasikan sebagai artifak keagamaan sebenarnya merupakan mainan yang dibuat dengan teliti.
“Jika awda ingin menghiburkan anak, awda boleh memberi mereka sudu kayu atau sebiji batu,” katanya.
Namun begitu, ibu bapa mempunyai pilihan untuk memanjakan anak-anak mereka dengan alternatif yang lebih menarik.
“Kira-kira 4,500 tahun dahulu, ibu bapa akan pergi ke pasar dan membeli mainan yang dibuat oleh profesional,” jelasnya.
Penyelidik menemui kepingan 19 permainan tanah liat yang dibuat di Hama, Syria, sejak Zaman Gangsa, dalam koleksi Muzium Negara Denmark.
Menurut Hald, kualiti alat permainan itu bermakna ia tidak mungkin dibuat sendiri oleh ibu bapa. – AFP
