Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelidik UM teroka potensi sisa sawit sebagai karbon

    KUALA LUMPUR – Industri sawit Malaysia terus bertumbuh di sebalik usaha pelbagai pihak, khususnya di peringkat antarabangsa, mengkritik negara sebagai tidak lestari selain mengancam alam semula jadi.

    Malah, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), permintaan terhadap minyak sawit negara menyaksikan peningkatan memberangsangkan, dan untuk tahun ini, eksport  bahan itu diunjurkan bertambah 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan berbanding 15.72 tan pada tahun sebelumnya.

    Pada 2021, Malaysia mengeksport sejumlah 15.57 juta tan dengan peningkatan permintaan daripada negara pengimport seperti Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

    Melihat pada situasi itu, tidak menghairankan jika 85 peratus daripada kira-kira 96 juta tan bahan buangan biojisim sektor pertanian negara saban tahun datang daripada industri sawit, yang mana kata pakar, turut membawa risiko peningkatan pencemaran alam sekitar.
     
    Potensi sisa sawit

    Bagi menangani isu ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya yang diketuai oleh pensyarah di Jabatan Kejuruteraan  Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Prof Madya Dr Shaifulazuar Rozali menjalankan kajian bagi mengubah sisa kelapa sawit kepada karbon bernilai tinggi.

    Pekerja syarikat kelapa sawit menunjukkan isirung kelapa sawit yang boleh digunakan untuk membuat produk seperti minyak dan makanan haiwan serta pelbagai lagi pada lawatan media ke kilang sawit baru-baru ini. – Bernama

    “Kelapa sawit digunakan untuk mendapatkan minyak sawit dan sisa sawit kebanyakannya digunakan untuk makanan haiwan serta dijadikan baja organik, selain itu ia hanya dibiarkan terurai begitu sahaja.

    “Namun, pereputan sisa kelapa sawit akan bertukar kepada bahan biojisim yang akan menghasilkan gas rumah hijau berbahaya termasuk gas metana selain air leachate (bahan larut lesap) yang menyumbang kepada pencemaran alam,” jelasnya kepada Bernama baru-baru ini.

    Jelas beliau lagi, dalam kajian yang bermula pada 2019 itu, pihaknya mengubah sisa sawit kepada bahan yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian seiring dengan dasar kerajaan yang mempromosikan usaha menukar bahan buangan biojisim kepada bahan bernilai tinggi.

    “Menerusi kajian ini, kami dapati bahan buangan sisa kelapa sawit atau yang telah reput menjadi biojisim seperti pelepah kelapa sawit, tandan kosong sawit dan daun kelapa sawit boleh diubah menjadi karbon bernilai tinggi yang mempunyai ciri-ciri karbon teraktif serta nano karbon yang bersifat lebih mesra alam,” katanya. 

    Menurutnya, antara karbon yang boleh dihasilkan daripada sisa sawit ialah karbon teraktif, biochar,  graphene, carbon nanotube, carbon fibre, magnetic nanocarbon dan carbon nano-spheres yang banyak digunakan dalam penghasilan pelbagai barangan seperti bateri, transistor, sensor, penapis air dan udara, bahan komunikasi optik dan komponen aeroangkasa.

    “Menerusi kajian ini, kami menumpukan pada  penghasilan karbon teraktif, biochar dan nano karbon yang mana kami turut membangunkan teknologi pemprosesan baharu yang lebih pantas dengan kos lebih rendah berbanding kajian yang telah sedia ada sebelum ini.

    “Kajian ini telah siap dalam 60 peratus dan kami yakin ia dapat disempurnakan dalam tempoh tiga tahun akan datang bergantung pada dana,” tambah Shaifulazuar.

    Menurutnya, kajian itu dimulakan dengan geran daripada Kementerian Pengajian Tinggi namun kini pihaknya memerlukan dana tambahan bagi meneruskan dan menyiapkan projek. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda