KUALA NERUS – Kesukaran mendapatkan bekalan biji benih bagi keperluan industri cendawan di Pantai Timur menjadi pencetus idea kepada penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menghasilkan inovasi dalam bidang tersebut.
Berbekalkan penyelidikan selama dua tahun, pensyarah dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), Dr Andrew Ngadin akhirnya berjaya menghasilkan X’Spore yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding penggunaan biji benih biasa.
Andrew berkata, X’Spore berbeza kerana ia didatangkan dalam bentuk cecair dalam botol yang memudahkan pengguna memasukkan benih ke dalam bongkah cendawan iaitu dengan cara semburan atau titisan.
“Inovasi ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia bagi menggantikan penggunaan biji benih yang digunakan secara meluas bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara lain seperti Thailand.
“Dengan adanya X’Spore, proses pembuatan biji benih melalui penggunaan biji jagung dan gandum iaitu kaedah tradisional juga tidak lagi diperlukan sekali gus menjimatkan masa dan kos,”katanya kepada Bernama.



Kos yang rendah
X’Spore juga menurut Andrew mempunyai ciri istimewa seperti rintangan tinggi kepada serangan penyakit, biji benih yang bermutu tinggi, lebih selamat di samping penglibatan kos yang lebih rendah.
Andrew yang mengkhusus dalam bidang mikrobiologi berkata pada masa ini produk X’Spore terhad kepada jenis cendawan tiram namun kajian lanjut akan diperluaskan untuk cendawan sisir yang turut mendapat permintaan tinggi di pasaran.
“Kulat sisir biasanya tumbuh liar di pokok getah. Kami sedang menjalankan kajian terhadap beberapa bahan lain (substrat) yang sesuai digunakan bagi menggantikan batang pokok getah. “Kami juga telah menghasilkan sejenis tablet yang diperbuat daripada sejenis substrat untuk menggantikan batang pokok getah tetapi ia masih dalam proses kajian penyesuaian,” katanya.
Setakat ini dua syarikat tempatan iaitu Mashaf Agrotech di Jerteh dan Fatisha Agro Farm Sdn Bhd di Dungun berminat untuk mengguna pakai produk tersebut.
Peluang
Beliau turut membuka peluang kepada rakan industri lain termasuk pengusaha cendawan kecil-kecilan yang berminat untuk mendapatkan produk tersebut bertepatan dengan matlamat universiti untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi komuniti melalui pembangunan serta penyelidikan.
Bagi menyesuaikan keperluan penanaman cendawan, beliau yang juga anggota IUCN Spesies Survival Commision (SSC) Mushrooms, Brackets, Puffballss Specialist Group turut membangunkan model rumah cendawan yang sesuai untuk kegunaan pengusaha secara kecil-kecilan atau berskala besar.
“Industri cendawan mempunyai potensi tinggi untuk terus berkembang kerana pasarannya luas dan harga pasarannya juga tinggi. “Ia juga sesuai diusahakan secara kecil-kecilan di rumah kerana tidak melibatkan kos yang tinggi serta penjagaan yang minimum. – Bernama