Thursday, December 5, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelidikan Australia kaitkan malam lebih cerah dengan peningkatan risiko kematian

    CANBERRA, 1 NOV – Pendedahan kepada cahaya terang pada waktu malam dan siang yang lebih gelap dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian, menurut satu penyelidikan di Australia, lapor Xinhua.

    Penyelidikan yang diterbitkan kelmarin oleh Universiti Flinders di Australia Selatan itu menganalisis lebih 13 juta jam data yang dikumpul daripada sensor cahaya yang dipakai oleh 89,000 orang.

    Kajian itu mendapati individu yang terdedah kepada tahap cahaya tinggi pada waktu malam menghadapi peningkatan risiko kematian sebanyak 21 hingga 34 peratus, manakala mereka yang terdedah kepada cahaya siang yang terang mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 17 hingga 34 peratus.

    Penulis kajian menyatakan pendedahan kepada cahaya pada waktu malam mengganggu irama sirkadian badan, iaitu kitaran perubahan fizikal, mental dan tingkah laku selama 24 jam, dengan melemahkan isyarat perentak pusat yang mengatur irama berkenaan.

    “Pendedahan kepada malam yang lebih cerah dan siang yang lebih gelap boleh mengganggu irama sirkadian kita, gangguan yang diketahui membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk diabetes, obesiti, penyakit kardiovaskular, masalah kesihatan mental, dan meningkatkan risiko kematian,” kata Sean Cain, penulis kanan dan pakar tidur dari Universiti Flinders, dalam satu kenyataan media.

    “Penemuan baharu mengenai potensi kesan buruk cahaya ini menunjukkan betapa pentingnya corak pendedahan cahaya peribadi untuk kesihatan awda,” kata Cain.

    Ketua Penulis, Daniel Windred ,berkata penemuan itu menunjukkan kepentingan mengekalkan persekitaran yang gelap pada lewat malam dan mencari cahaya terang pada waktu siang untuk meningkatkan irama sirkadian.

    Kajian ini berdasarkan data daripada 89,000 peserta Biobank United Kingdom, berusia 40 hingga 69 tahun, yang memakai sensor cahaya di pergelangan tangan dominan mereka selama tujuh hari dalam keadaan bebas antara 2013 dan 2016. Kemortalan peserta dicatatkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional sepanjang tempoh susulan selama lapan tahun. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda