Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyelidikan ribut salji mampu kurangkan kesan bencana

    WOODSTOCK – Salji tebal putih kelihatan meliputi daun-daun pokok di Hutan Negara White Mountain di mana ia seolah-olah menggambarkan suasana apa yang dipertontonkan di dalam filem Frozen di mana ia menyajikan sebuah pemandangan yang sangat indah dan menakjubkan.

    Namun, setentunya ia bukan terjadi disebabkan oleh kuasa magik sebagaimana yang dipertontonkan di dalam filem animasi popular itu bahkan ia lebih menjurus kepada unsur sains di mana hutan tersebut dijadikan sebagai pusat penyelidikan bagi projek yang mengkaji kesan ribut salji.

    Pada dasarnya, salji memang dapat memberikan panorama yang indah pada sesebuah kawasan namun ia juga turut memberikan beberapa kesan buruk yang mengubah iklim sesebuah hutan, merosakkan infrastruktur malah juga turut boleh mengancam jiwa.

    Misi utama penyelidikan tersebut adalah untuk mengkaji sejauh mana dan bagaimana ribut salji boleh menjejaskan hutan dan hidupan liar berdasarkan faktor masa dan lokasi.

    Kerja-kerja penyelidikan telah dijalankan di zon terkawal di Hutan Negara White Mountain di mana ia dilabel sebagai Zon Hutan Kajian Hubbard Brook.

    Para pengkaji melakukan kerja-kerja penyelidikan mengenai isu ribut salji secara berkumpulan. –AP
    Para pengkaji melakukan kerja-kerja penyelidikan mengenai isu ribut salji secara berkumpulan. –AP
    Kerja-kerja penyelidikan telah dijalankan di zon terkawal di Hutan Negara White Mountain di mana ia dilabel sebagai Zon Hutan Kajian Hubbard Brook. – AP
    Kerja-kerja penyelidikan telah dijalankan di zon terkawal di Hutan Negara White Mountain di mana ia dilabel sebagai Zon Hutan Kajian Hubbard Brook. – AP

    “Masyarakat begitu bimbang terhadap fenomena ribut salji kerana ia memberikan kesan yang sangat hebat namun tidak ramai yang mengetahui lebih lanjut mengenai hal tersebut,” jelas Charles Driscoll salah seorang penyelidik projek dan seorang profesor sistem kejuruteraan alam sekitar di Universiti Syracuse.

    “Ini adalah langkah terbaik untuk melakukan penyelidikan apabila skop kajian adalah pada tahap yang terkawal di mana pelbagai peringkat ais dapat dilihat dan sejauhmana ia memberikan kesan kepada ekosistem,” tambah Driscoll.

    Di Amerika Syarikat, fenomena ribut salji kerap berlaku di sekitar kawasan timur Texas dan New England dan lebih memberikan kesan buruk di kawasan Timur Laut.

    Pada tahun 1988, pernah terjadi satu fenomena ribut yang menjejaskan jutaan orang berikutan daripada bekalan elektrik yang terputus sehingga menyebabkan kerugian sebanyak AS$4 bilion.

    “Lebih sedekad lalu, ribut salji merupakan antara punca yang menyebabkan masalah kemalangan dan isu ini wajar untuk diselidiki dengan lebih terperinci,” jelas Penyelidik Ekologi di Jabatan Perhutanan, Lindsey Rustad.

    Dari situ, Rustad bersama dengan teman-temannya mula giat mengkaji lebih mendalam mengenai fenomena ribut salji dan kesan yang terjadinya daripadanya.

    “Kami nekad untuk menggunakan tapak khas iaitu hutan sebagai lokasi penyelidikan dan ternyata ia adalah merupakan salah satu langkah baik berbanding daripada menunggu bagi tempoh-tempoh tertentu sebelum ribut salji itu berlaku di mana ia setentunya adalah satu perkara yang membazirkan masa,” jelas Rustad.

    Justeru, kajian telah dilakukan dengan melengkapkan hos bomba pada dua buah ATV yang melalui perjalanan pada jarak dua plot kajian, menyemburkan kabus halus ke udara,

    Seterusnya, para pengkaji akan menggunakan baldi berwarna jingga untuk mengukur sebanyak mana jumlah air yang telah digunakan dan bakul dobi berwarna kelabu pula digunakan untuk mengumpulkan sisa salji yang jatuh daripada pokok.

    Salah seorang penyelidik mengumpulkan jumlah salji yang gugur daripada dedaun pokok yang diliputi oleh salji selepas semalaman disembur dengan air. – AP
    Salah seorang penyelidik mengumpulkan jumlah salji yang gugur daripada dedaun pokok yang diliputi oleh salji selepas semalaman disembur dengan air. – AP

    “Sebagaimana yang diketahui bahawa tumbuh-tumbuhan merupakan organisma yang kuat, besar dan memiliki jangka hayat yang lama sehingga mampu menghalangi pelbagai halangan. Walaupun pada hakikatnya ia tidak bergerak, namun ia berupaya untuk hidup selama beratus tahun dan setiap kali berlakunya sesuatu perkara buruk, tumbuh-tumbuhan cenderung untuk bangkit semula,” jelas Rustad.

    “Maka, melalui kajian ini, kita dapat mengetahui keupayaan tumbuh-tumbuhan yang mampu melindungi dirinya walaupun ada kalanya sesuatu bencana itu kelihatan mampu menyebabkan terjadinya kesan yang buruk,” tambah Rustad.

    Projek yang dijalankan selama beberapa tahun itu dibiayai oleh Yayasan Sains Negara yang mengumpulkan barisan ahli saintis daripada pelbagai universiti terkemuka termasuk Universiti Vermont, Universiti Southern Main, Universiti Cornell dan Universiti Teknologi Texas.

    Penyelidikan berhubung dengan fenomena ribut salji dan kesannya giat dilaksanakan di kawasan tersebut namun setiap kajian yang dilakukan itu adalah dijalankan secara terkawal.

    Walaupun terdapat spekulasi berhubung kesan buruk berhubung fenomena ribut salji itu yang berkemungkinan untuk beralih ke arah utara disebabkan oleh perubahan iklim atau mendorong kepada kekerapan berlakunya ribut salji namun ternyata pendapat itu adalah jelas dapat ditepis memandangkan penyelidikan ini dilakukan secara terkawal, jelas Rustad.

    “Melalui penyelidikan ini, ia secara tidak langsung akan dapat membantu para penyelidik untuk memahami mengenai iklim dan sekaligus boleh memberikan persiapan yang lebih awal kepada para masyarakat berhubung daripada kesan buruk yang mungkin menimpa sekiranya ada berlakunya fenomena ribut salji,” jelas Rustad.

    “Kita harus lebih proaktif untuk terus melakukan kerja-kerja penyelidikan terutama berhubung isu cuaca di musim sejuk yang boleh memberikan impak yang tertentu kepada atmosfera, individu dan ekosistem,” tambah Rustad. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda