WASHINGTON, 6 APRIL – Seorang pakar neurologi Amerika Syarikat dan seorang ahli epidemiologi Itali telah dianugerahkan Hadiah Breakthrough, yang digelar sebagai “Oscar Dunia Sains”, atas kejayaan mereka membangunkan kaedah rawatan baharu untuk penyakit sklerosis berbilang (MS).
Stephen Hauser dan Alberto Ascherio menerima pengiktirafan atas usaha mereka selama puluhan tahun dalam memahami penyakit neurodegenerasi itu yang menjejaskan hampir tiga juta orang di seluruh dunia.
Hauser mula meneliti penyakit Sklerosis Berbilang (MS) lebih daripada 45 tahun lalu, selepas bertemu dengan seorang pesakit muda bernama Andrea. Seorang peguam wanita yang berbakat dan bekerja di Rumah Putih di bawah pentadbiran Presiden Jimmy Carter.
“Serangan MS datang dengan begitu dahsyat dan memusnahkan seluruh kehidupannya,” kata Hauser dalam wawancara bersama AFP.
Tambahnya lagi “Saya masih terbayang keadaannya dan tidak mampu bercakap, lumpuh di sebelah kanan badan, tidak dapat menelan dan tidak mampu bernafas sendiri. Saya fikir, ini merupakan ketidakadilan paling besar yang pernah saya saksikan dalam dunia perubatan.”
Pada usia 27 tahun, Dr. Stephen Hauser membuat keputusan besar, menumpukan seluruh kerjayanya kepada usaha memahami dan merawat penyakit Sklerosis Berbilang (MS). – AFP
