Penyeludup diesel kena penjara

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Lapan anak kapal dijatuhi hukuman satu tahun penjara setiap seorang oleh Mahkamah Perantaraan baru-baru ini, selepas mengaku bersalah melakukan salah guna, dengan memindah keluar 8,000 liter minyak diesel bernilai $5,440 dari kapal mereka dan menjualnya kepada kapal lain.

Hukuman terhadap Heng Fock Yuan @ Elbrin Heng, 21, Ahmad Marzuqi bin Musaddad, 26, Awangku Abdul Hafiz bin Pengiran Ibrahim, 28, Naser Sahadat, 44, Otang Saumar, 34, Adi Priyatno, 32, Armin Mahmud Satia, 37, dan Roland Tahum Capio, 39, dijatuhi Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku pada 29 Julai 2019, kesemua tertuduh mendakwa hanya mengikut arahan daripada kapten kapal, yang mana Hakim Pengiran Masni berkata bahawa tertuduh mempunyai pilihan untuk tidak melibatkan diri sebaliknya perlu membuat laporan kepada pihak berkenaan.

“Dengan berbuat demikian, kamu telah bersetuju untuk melakukan jenayah,” kata Hakim Pengiran Masni sambil menambah, kes berkenaan melibatkan curi minyak diesel, iaitu komoditi negara ini dan kerugian yang dialami kerajaan tidak mendapat ganti rugi.

Mahkamah percaya bahawa tertuduh akan terus melakukan jenayah berkenaan jika kesalahan mereka tidak dikesan Ketua Logistik Marin, Syarikat Minyak Shell Brunei (BSP).
Tiga lagi individu dilaporkan masih bebas iaitu kapten kapal, jurutera kedua dan tukang masak.

Kesemua tertuduh bertugas di kapal Amarco 9 milik Amarco Sdn Bhd yang diberi kontrak selama lima tahun untuk mengangkut kargo dan kontena.

Salah sebuah kargo digunakan untuk mengangkut minyak diesel, air dan kargo dek.

Tindakan menjual minyak yang dibekalkan BSP kepada kapal yang tidak dikenali dikesan pada awal September 2019 apabila Ketua Logistik Marin, BSP menyedari pergerakan ‘aneh’ pada geofencing kapal yang mencetuskan amaran bagi rentas sempadan atau aktiviti perlahan.

Data yang direkodkan menunjukkan kapal Amarco 9 melintasi sempadan untuk seketika antara 10:38 malam dan 11:23 malam pada 29 Julai 2019.

Pada 9 September 2019, ketika Amarco 9 berlabuh di Sungai Kuala Belait, pegawai dari Shell Marine Resources membuat pemeriksaan ke atas kapal dan menemukan hos sepanjang
4 hingga 5 meter yang dipercayai digunakan untuk memindahkan minyak diesel. Laporan polis kemudian dibuat.

Tertuduh ketika disoal siasat mendakwa menerima wang $1,000 hingga $1,500 daripada kapten kapal. Wang yang diterima tertuduh dibelanjakan untuk kegunaan sendiri.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali.