MUMBAI, 2 JUN – Seorang penumpang yang cuba menyeludup puluhan ekor ular berbisa telah ditahan sejurus tiba di ibu kota kewangan India, Mumbai, dari Thailand, menurut pegawai kastam India.
Ular-ular tersebut, termasuk 44 ekor ular viper Indonesia, telah “disembunyikan dalam bagasi daftar masuk,” kata Kastam Mumbai dalam satu kenyataan kelmarin.
“Seorang warganegara India yang tiba dari Thailand telah ditahan,” tambah kenyataan itu.
Penumpang berkenaan, yang identitinya tidak didedahkan, turut membawa tiga ekor ular viper bertanduk dan mempunyai ekor seperti labah-labah spesies berbisa yang kebiasaannya hanya menyerang mangsa kecil seperti burung serta lima ekor kura-kura daun Asia.
Kastam Mumbai turut mengeluarkan gambar ular yang dirampas, termasuk reptilia berwarna biru dan kuning yang meliuk dalam baldi. Rampasan ular merupakan sesuatu yang jarang berlaku di Mumbai, di mana pegawai kastam lebih kerap menyiarkan gambar rampasan emas, wang tunai, ganja atau pil kokain yang ditelan penumpang.

Namun, pada Februari lalu, pegawai kastam di Lapangan Terbang Mumbai turut menahan seorang penyeludup yang membawa lima ekor siamang, sejenis beruk kecil yang berasal dari hutan Indonesia, Malaysia dan Thailand.
Menurut pegawai kastam, makhluk kecil itu, yang disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), telah ‘disembunyikan dengan licik’ dalam sebuah peti plastik yang diletakkan dalam beg troli penumpang.
Pada November lalu, pegawai kastam merampas seorang penumpang yang membawa 12 ekor kura-kura hidup, dan sebulan sebelum itu, empat ekor burung enggang, semuanya dalam pesawat yang tiba dari Thailand.
Pada bulan September pula, dua penumpang telah ditahan bersama lima ekor anak caiman, sejenis reptilia daripada keluarga buaya. – AFP

