Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Penyeludupan di Teluk Brunei tumpas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Sebanyak 2,784 tin minuman keras pelbagai jenis, 696 botol minuman keras pelbagai jenis, 100 karton rokok pelbagai jenis, wang tunai berjumlah $162 dan RM41, sebuah perahu berukuran 27 kaki panjang berserta enjin dan sebuah telefon bimbit berjaya dirampas semasa operasi bersepadu di Teluk Brunei tertumpu di kawasan Ujung Sapuh, Pulau Muara Besar dan Serasa pada 11 Februari lalu.

    Operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bersama Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Markas Angkatan Bersama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hasil daripada gerakan operasi yang dijalankan di kawasan perairan Pulau Pepatan, JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warga tempatan yang berumur 29 dan 55 tahun atas kesalahan cuba menyeludup dan memiliki barang tegahan kastam.

    JKED menyatakan bahawa kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan Kastam.
    JKED menyatakan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    Barang tegahan yang berjaya dirampas oleh anggota penguat kuasa semasa operasi di Teluk Brunei, baru-baru ini. – Gambar serahan JKED
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...