Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Penyenaraian tempat kediaman yang dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan berakhir pada 24 Ogos.
Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2025 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-undang Negara Brunei Darussalam.
JPES dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, ingin memberikan jaminan kepada semua keluarga atau isi rumah terpilih yang mengambil bahagian dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.
Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.
Justeru itu, sokongan dan kerjasama semua keluarga/isi rumah terpilih semasa penyenaraian tempat kediaman adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian ini.
Untuk pertanyaan mengenai penyenaraian tempat kediaman berkenaan bolehlah dirujuk ke JPES di talian 7469844 pada waktu pejabat, atau emel ke info.statistics@jpes.gov.bn, atau layari laman sesawang di deps.mofe.gov.bn.



