Saturday, July 6, 2024
23 C
Brunei

    -

    KTK 2024 mula beroperasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI –  Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengendalikan Penyenaraian Tempat Kediaman (Houselisting) bermula pada 1 Julai hingga 21 Julai bagi setiap isi rumah di kawasan yang ditetapkan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPES, tujuan penyenaraian berkenaan adalah untuk menghasilkan pangkalan data dan maklumat secara komprehensif dan terkini yang boleh digunakan untuk Kajian Tenaga Kerja (KTK) bermula pada 14 Oktober hingga 10 November nanti.

    Sehubungan dengan itu, bagi menandakan bermulanya aktiviti penyenaraian tersebut,  Majlis Mengangkat Sumpah bagi pelantikan 60 orang pegawai kajian baharu, KTK bagi 2024 telah diadakan pada 29 Jun lalu, serta hadir disaksikan oleh Pemangku Ketua Pengarah, JPES, Awang Hairol Nizam bin Haji Abd Hamid.

    Sebahagian dari pegawai KTK yang dilantik sedang mengangkat sumpah.

    Pegawai kajian yang dilantik ini akan mengunjungi tempat kediaman yang ditetapkan untuk mengumpul data dan maklumat terperinci bagi memantau dan menganalisa perancangan dan pembangunan negara, tambahnya lagi. Hasil kajian itu akan digunakan oleh pihak Kerajaan dalam merangka dasar-dasar ekonomi dan sosial dengan lebih komprehensif dan berkesan.

    Antara maklumat yang akan dikumpul adalah nama dan nombor telefon ketua keluarga/isi rumah, jumlah ahli isi rumah, dan alamat tempat kediaman yang terpilih. Setelah maklumat diperolehi, pegawai kajian akan memasang pelekat penanda bagi setiap tempat kediaman. Isi rumah yang terpilih diingatkan untuk terlebih dahulu mengesahkan identiti pegawai kajian dengan membuat pemeriksaan pas kajian, surat lantikan, kad pengenalan dan vest rasmi JPES.

    Isi rumah yang mempunyai haiwan peliharaan, terutamanya anjing adalah disarankan untuk menempatkan haiwan peliharaan di tempat yang bersesuaian bagi tujuan keselamatan pegawai kajian.

    KTK 2024 dijalankan di bawah Akta Perangkaan, Penggal 81 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. JPES ingin memberikan jaminan kepada semua keluarga atau isi rumah terpilih yang mengambil bahagian dalam kajian ini bahawa maklumat yang dikumpulkan akan disimpan sulit dan akan digunakan bagi keperluan perangkaan sahaja.

    Menurut Seksyen 9 Akta Perangkaan, kegagalan atau keengganan untuk memberikan maklumat yang diperlukan atau memberikan maklumat palsu adalah menjadi satu kesalahan yang membawa hukuman denda sebanyak $4,000.00. Justeru itu, sokongan dan kerjasama semua keluarga/isi rumah terpilih semasa aktiviti penyenaraian adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjayakan kajian berkenaan.

    Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai KTK 2024, boleh dirujuk ke JPES melalui telefon di talian, 7469844 semasa waktu pejabat, e-mel:info.statistics@jpes.gov.bn dan melayari laman sesawang, deps.mofe.gov.bn.

    Awang Hairol Nizam bergambar ramai bersama para pegawai KTK. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPES
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ keluarkan panduan guna peranti di sekolah

    WELLINGTON, 5 JULAI - Memandangkan kanak-kanak New Zealand (NZ) mencatat kadar penggunaan peranti tertinggi di dunia, garis panduan baharu untuk membantu mengimbangi risiko kesihatan...