Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH (SV), dengan kerjasama Colombo Plan Staff College (CPSC), telah mengadakan forum perkongsian peringkat tinggi bertajuk Embedding Technopreneurship in TVET: Strategies, Success Stories, and Insights bertempat di Pusat Serantau SV, hari ini.
Dengan menghimpunkan lebih 50 penggubal dasar, pendidik dan peneraju industri dari seluruh rantau Asia-Pasifik, forum strategik ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk pihak berkepentingan TVET untuk meneroka pendekatan inovatif bagi menerapkan kecekapan keusahawanan dalam sistem pendidikan vokasional.
Forum setengah hari berkenaan telah menyaksikan telah menampilkan Ketua Pengarah CPSC, Profesor Dr Suresh Kumar Dhameja; Ketua Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Awang Adna Shatriremie bin Haji A. Abdul Rahman dan dua orang perintis industri terdiri daripada Awang Mohd Shafique bin Haji Mohd Hussain dari InnovAero Sdn Bhd dan Awang Ahmad Fathi bin Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan dari Fatih Aquaculture.
Terdahulu, Pakar TVET dan Pengurus Hal Ehwal Korporat SV, Dayang Noorhayati Cynthia Abdullah telah membuka prosiding dan diikuti dengan sesi forum yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Profesional Pusat Serantau SV, Dr Paryono selaku moderator.
Forum itu merupakan komponen utama program latihan on-site selama lima hari bertajuk Integrating Entrepreneurship and Technopreneurship into the TVET Curriculum yang diadakan pada masa ini di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH dari 2 hingga 6 Jun, berikutan sesi latihan dalam talian yang dilaksanakan awal tiga hari sebelum ketibaan para peserta di negara ini.
Selain itu, forum berkenaan turut menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada ahli akademik dan industri yang mana ia juga dihasrat untuk memudahkan perkongsian pengetahuan tentang strategi praktikal dalam usaha penyepaduan teknousahawan melalui kajian kes dunia sebenar dan pandangan pakar.





