Friday, October 18, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyerahan bendera kepada kontinjen MSSBD

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam (MSSBD), Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan menghantar kontinjen seramai 56 orang bagi menyertai Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) ke-13, 2024 yang akan berlangsung di Da Nang, Vietnam.

    Kontinjen itu terdiri daripada 33 orang atlet pelajar dan 23 orang pegawai dan kakitangan di mana kontinjen akan mengambil bahagian dalam lima acara sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga, renang, badminton, pencak silat dan bola keranjang.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Kontinjen MSSBD diadakan di Dewan Utama, Bangunan Baru Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan bendera kepada ketua kontinjen ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pendidikan, pengetua-pengetua sekolah serta para ibu bapa atlet.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menyerahkan bendera negara kepada Awang Julaihi. – GAMBAR OLEH SIM Y.H
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bergambar ramai dengan kontinjen MSSBD. – GAMBAR OLEH SIM Y.H

    Pada majlis berkenaan, Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Julaihi bin Haji Mohamad@Mohamat yang juga selaku ketua kontinjen MSSBD dalam ucapan alu-aluannya menyatakan ASG merupakan acara pelbagai sukan tahunan di rantau Asia Tenggara yang melibatkan atlet di kalangan pelajar di bawah 18 tahun dari negara-negara anggota ASEAN.

    Kejohanan itu merupakan sebuah platform yang tertinggi di rantau ini bagi para pelajar untuk bersaing dalam bidang sukan di samping menyediakan ruang dan peluang yang baik bagi mereka untuk mengukuhkan hubungan persahabatan serta kerjasama antara satu sama yang lain.

    Ia adalah sejajar dengan matlamat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASSC) untuk mempromosikan perpaduan di kalangan para belia ASEAN melalui sukan, tambah Awang Julaihi lagi.

    Beliau menyatakan edisi kejohanan ASG kali ini adalah yang pertama diadakan selepas penularan pandemik COVID pada 2020 di mana edisi ASG yang terakhir diadakan di Semarang, Indonesia pada 2019 dengan kontinjen MSSBD berjaya membawa pulang satu pingat perak dalam sukan pencak silat.

    Awang Julaihi dalam ucapan alu-aluannya lagi mengingatkan semua atlet pelajar dan pegawai kontinjen untuk sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku di sepanjang mengikuti kejohanan serta sentiasa memberikan kerjasama kepada semua pihak.

    “Pamerkanlah ciri-ciri keBruneian kita yang berpaksikan konsep Melayu Islam Beraja di sepanjang berada di sana nanti.”

    Majlis diteruskan dengan penyerahan bendera yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah kepada ketua kontinjen MSSBD.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah diperkenalkan kepada atlet-atlet dan pegawai-pegawai kontinjen serta berpeluang untuk beramah-mesra sebelum sesi bergambar ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda