Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyerahan bendera negara kepada kontinjen AUG 2024

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kontinjen institusi pengajian tinggi (IPT) Negara Brunei Darussalam akan mengambil bahagian dalam lapan acara sukan semasa Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-21, Tahun 2024 yang bakal berlangsung di Surabaya dan Malang, Indonesia dari 25 Jun hingga 6 Julai.

    Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Penyerahan Bendera Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan bendera berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir ialah setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, timbalan setiausaha tetap dan ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pendidikan.

    Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyerahkan bendera kepada ketua kontinjen iaitu Pegawai Pelajaran Kanan, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, Dr Tang Shi Siong.

    AUG 2024 dianjurkan oleh Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC), Majlis Sukan Universiti Indonesia (IUSC) dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Universiti ASEAN ke-21 Tahun 2024 (AUGOC 2024).

    Bersempena AUG 2024, Persidangan Antarabangsa Majlis Sukan Universiti ASEAN 2024 (AUSCIC 2024) akan diadakan pada 26 dan 27 Jun di Surabaya, Indonesia.

    Pada kejohanan tahun ini, Jabatan Pengajian Tinggi menghantar kontinjen seramai 55 orang yang terdiri daripada 32 orang atlet dan 23 orang pegawai di mana kontinjen berkenaan menyertai sukan olahraga, futsal, 3×3 basketball, pencak silat, petanque, tae wan do, karate dan wusyu.

    Kejohanan itu bertujuan untuk mewujudkan semangat daya saing yang sihat dalam kalangan atlet dari universiti dan institusi di Negara Brunei Darussalam dan negara-negara anggota ASEAN.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyerahkan bendera negara kepada Dr Tang Shi Siong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah beramah mesra dengan ahli-ahli kontinjen IPT Brunei Darussalam ke AUG 2024. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda