Friday, February 21, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyerahan kampus pertanian UNISSA di Sinaut

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    TUTONG, 15 JUN – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini telah menempa sejarah baharu dengan menerima kampus tambahan pada Majlis Penyerahan Penggunaan Pusat Latihan Pertanian Sinaut, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung pada petang tadi di pusat tersebut.

    Hadir menyaksikan majlis penyerahan tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Surat Penyerahan Pusat Latihan Pertanian Sinaut telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Masliana Yuliah binti Abdullah kepada rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Sebelum majlis penyerahan disempurnakan, rektor UNISSA turut berkesudian menyampaikan ucapan alu-aluan antara lain menyentuh mengenai penubuhan Fakulti Pertanian UNISSA.

    “Penubuhan Fakulti Pertanian sebagaimana yang dinyatakan dalam titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa keberangkatan tidak berjadual pada 12 Oktober 2020, merupakan salah satu detik bersejarah perkembangan UNISSA,” jelas rektor UNISSA pada majlis tersebut.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyaksikan penyampaian Surat Penyerahan Pusat Latihan Pertanian Sinaut antara pemangku pengarah pertanian dan agrimakanan dan rektor UNISSA.
    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa meninjau pusat berkenaan.

    Fakulti Pertanian itu, jelas Dr Haji Norarfan lagi pada awalnya dirancang dibina di kampus baharu UNISSA di Daerah Temburong namun pelaksa-naannya tidak dapat lagi ditangguhkan disebabkan untuk memenuhi program baharu UNISSA dan keperluan kemudahan fakulti-fakulti yang lebih luas dan selesa bagi menampung pelajar-pelajar yang semakin ramai.

    Justeru itu, UNISSA memerlukan tempat baharu bagi menampung perkembangan tersebut.

    Di samping itu, keseluruhan bangunan itu akan dinaiktarafkan agar keselesaan dan kesejahteraan para pelajar dan warga kerja UNISSA terjamin yang juga akan menempatkan bangunan pentadbiran, bilik-bilik kuliah, asrama, kantin, makmal saintifik, banglo, flat yang akan dijadikan asrama serta dewan serba guna.

    “Insya-Allah, kampus itu akan dapat dimanfaatkan secara berfasa bermula Januari 2022 yang akan menawarkan pelbagai program merangkumi agroteknologi, akuakultur, hortikultur, penternakan dan veteriner,” tambah Dr Haji Norarfan.

    Pada majlis itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menandatangani plak penyerahan Pusat Latihan Pertanian Sinaut dan sempat membuat tinjauan ke beberapa buah bilik serta turut menyaksikan pameran berkaitan Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA. 

    Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, timbalan-timbalan setiausaha tetap KSSUP, pegawai-pegawai kanan KSSUP dan UNISSA.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda