Oleh Danial Noridi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei, (ABAC) hari ini menyerahkan Laporan ABAC bagi pemimpin-pemimpin APEC tahun 2019 bertajuk Inclusive and Collaborative: Growth in the Digital Era kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Laporan diserahkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha sebagai ahli ABAC Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan, laporan tersebut menyerlahkan langkah yang diusahakan oleh ABAC dalam tahun ini dan rekomendasi yang membentuk asas dialog antara pemimpin-pemimpin APEC dan perwakilan perniagaan APEC pada 16 November ini pada sidang sampingan Sidang Kemuncak APEC di bawah kepimpinan Chile, di Santiago, Chile.
Laporan ABAC 2019 itu menetapkan rekomendasi praktikal yang dihasratkan mengemukakan cabaran semasa dan merangsang pertumbuhan serantau serta kemakmurannya manakala dalam masa yang sama, memperluaskan lagi keterangkumannya.
Menurut kenyataan itu lagi, ABAC Brunei dalam usahanya menyokong perusahaan kecil mikro dan sederhana (PMKS), bersama-sama mengetuai dan mempermudah penubuhan platform Monde B2B atas undangan ABAC Chile dan menyokong Kawasan Pembangunan Asia Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Monde B2B merupakan platform pasaran online yang menghubungkan pengimport dan pengeksport di seluruh rantau APEC dan membolehkan syarikat PKS Brunei mengeksport produk dan perkhidmatan rentas sempadan.
Sokongan ini akan memberikan peluang kepada 100 syarikat PKS tempatan akses pasaran bermula dalam BIMP-EAGA dan rantau Pasifik menjelang tahun depan.
ABAC Brunei berharap negara akan meraih manfaat daripada amalan terbaik negara-negara ekonomi di rantau APEC dan dalam masa yang sama, menggalakkan lebih banyak inisiatif membina kapasiti dihoskan di Brunei.
