Penyerahan Piala Pusingan Regata

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Majlis Penyerahan Piala Pusingan Regata Brunei Darussalam oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko telah diadakan di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin

Haji Apong selaku penasihat bersama Jawatankuasa Tertinggi Regata sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei ke-73 telah menerima piala pusingan daripada TYT Dr Sujatmiko selaku wakil juara Regata Brunei bagi acara Lumba Perahu Tradisi Terbuka Maraton 30 Pekayuh, tahun lepas.

Pasukan Persatuan Olahraga Dayung Seluruh Indonesia, PODSI Kalimantan Barat akan mewakili Indonesia dalam acara regata tahun ini bersama 50 orang termasuk 10 pegawai dan 40 atlet yang akan menyertai lima acara lumba perahu.

Hadir pada majlis penyerahan tersebut ialah setiausaha-setiausaha tetap KHEDN dan timbalan setiausaha tetap Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan

(KSSUP) selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Regata Brunei dan timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN selaku timbalan pengerusi bersama jawatankuasa tertinggi regata tahun ini. Regata Brunei Darussalam 2019 yang dianjurkan bersama oleh KHEDN, KSSUP dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan diadakan pada 25 Ogos di perairan Sungai Brunei berhadapan Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan.

TYT Dr Sujatmiko menyerahkan Piala Pusingan Regata Brunei Darussalam kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.