Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Sambutan Hari Polis ke-99 pada tahun ini telah bermula dengan pelancaran dan pengedaran poster sambutan yang membawa tema ‘Bersama Menghadapi Cabaran’.
Majlis Penyerahan Poster Hari Polis ke-99 telah berlangsung di Dewan Bankuet, Mes Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB), Gadong, hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Irwan bin Haji Hambali.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid, para pengarah dan timbalan pengarah, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta anggota PDB.
Acara kemuncak majlis ialah penyerahan poster kepada kesemua pegawai PDB serta jemputan khas yang terdiri daripada para penghulu mukim, pengamal media dan wakil-wakil kementerian serta media-media massa di negara ini.
Pemberigaan poster-poster berkenaan bertujuan sebagai pembuka tirai dan pemakluman kepada orang ramai mengenai Sambutan Hari Polis ke-99 dengan Istiadat Perbarisan Hari Polis (HP99) yang akan berlangsung pada 25 Februari depan.

