PESHAWAR, 19 SEPT – Seorang penyerang bersenjata menaiki motosikal menembak mati seorang anggota polis yang menjaga pekerja vaksinasi polio, hari ini, di kawasan pedalaman barat laut Pakistan, menurut kenyataan polis.
Pegawai atasan, Khalid Suhail berkata serangan berlaku di perkampungan Dhal Behzadi, kira-kira 75 kilometer selatan Peshawar, ibu kota wilayah Khyber Pakhtunkhwa. Anggota pasukan vaksinasi tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Serangan berlaku pada hari ketiga kempen vaksinasi polio yang berlangsung selama lima hari di seluruh wilayah. Ia adalah sebahagian daripada program seluruh negara untuk menghapuskan penyakit tersebut menjelang penghujung 2021.
Setakat ini pada tahun ini, tiada kes polio baharu dilaporkan di Pakistan. Pakistan dan negara jiran, Afghanistan adalah dua negara terakhir di dunia di mana polio merupakan endemik, selepas Nigeria tahun lalu mengisytiharkan bebas daripada virus tersebut.
Aimal Khan, jurucakap wilayah bagi program anti-polio, berkata matlamat pemberian vaksin itu adalah untuk mengagihkan vaksin kepada 6.24 juta orang kanak-kanak berusia lima tahun di seluruh wilayah. Hampir 30,340 pasukan yang dianggotai oleh petugas terlatih pergi dari rumah ke rumah untuk memberikan vaksin, menurutnya.
Khan berkata selepas serangan hari ini di daerah Kohat, keselamatan bagi pasukan vaksinasi telah dipertingkatkan. Kira-kira 40,000 anggota polis dan tentera dikerahkan untuk memberikan keselamatan semasa kempen vaksinasi.
Militan sering menyasarkan pasukan polio dan polis dan mendakwa kempen vaksinasi adalah konspirasi barat untuk memandulkan kanak-kanak. – AP