Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Dua pengawal keselamatan yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyerang lelaki dan menyebabkan kerosakan pada keretanya menerima hukuman mereka, hari ini.
Majistret Pengiran Hazirah binti Pengiran Haji Mohd Yusof menjatuhi hukuman 10 bulan penjara dan satu sebatan terhadap Abdul Rahim bin Abdul Rahman, 24, dan empat bulan penjara ke atas Awangku Mohammad Eaddyzul Amirzan Firdaus bin Pengiran Abdul Wahap, 21 tahun.
Fakta kes menyebut, pada 23 September 2019 kira-kira jam 4:30 pagi semasa bertugas, Abdul Rahim memberitahu Awangku Mohammad Eaddyzul mengenai isterinya yang mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
Kedua-dua tertuduh kemudian memutuskan untuk menghubungi lelaki itu dan memintanya untuk berjumpa di kawasan letak kereta di Kiarong.
Sebaik berjumpa lelaki itu pada hari sama jam 6 petang, kedua-dua tertuduh mengarahkan lelaki itu untuk menunjukkan telefon bimbitnya, yang mana mereka menemui gambar mesra isteri Abdul Rahim bersamanya.
Abdul Rahim terus mengambil batang besi dari keretanya dan memukul belakang dan kepala lelaki itu berulang kali.
Awangku Mohammad Eaddyzul pula menampar muka, menumbuk dan menendang badan lelaki itu, dan turut menumbuk keretanya beberapa kali sehingga menyebabkan kerosakan.
Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Hajah‘Adzimah Mukarramah binti Haji Salleh.