Oleh Fadley Faisal
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Seorang lelaki warga Malaysia telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Perantaraan, semalam, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melakukan serangan.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Jaya bin Hassan setelah didapati bersalah selepas perbicaraan atas dakwaan menyerang seorang lelaki menggunakan objek tajam yang dibalut kain di rumah mangsa pada pagi 16 Januari 2019.
Timbalan Pendakwa Raya Fitri Kiprawi juga membuktikan bahawa defendan telah pergi ke rumah mangsa pada pagi itu untuk bersemuka dengan mangsa mengenai hubungan sulit antara mangsa dan isteri defendan.
Defendan telah menyerang mangsa di kepalanya menyebabkan keretakan pada tengkorak sehingga mangsa mengalami kecacatan percakapan yang kekal.