Penyerang masjid pecat peguamnya

ANKARA, 13 JULAI – Brenton Tarrant penyerang di sebalik insiden tembakan masjid di Christchurch, New Zealand pada 2019, memecat peguamnya dan memilih untuk mewakili dirinya sendiri, lapor agensi berita Anadolu memetik laporan media hari ini.

Tarrant, warga Australia didakwa menjadi dalang pembunuhan yang disifatkan terburuk dalam sejarah moden New Zealand, dituduh membunuh dan melakukan keganasan, menurut Radio New Zealand.

Peguamnya Shane Tait dan Jonathan Hudson menarik diri daripada kes itu atas permintaan pelanggan mereka.

Tarrant dituduh menyebabkan kematian 51 jemaah di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019.

Beliau mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan satu pertuduhan melakukan keganasan. – Bernama