Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penyerang pusat beli-belah Sydney dikenal pasti

    SYDNEY, 14 APRIL – Seorang pengembara berusia 40 tahun yang mengalami penyakit mental dikenal pasti sebagai orang yang mengamuk di pusat beli-belah Sydney dan membunuh enam orang, termasuk seorang ibu dengan anak damit berusia sembilan bulan, menurut polis pada hari ini.

    Penolong Pesuruhjaya Polis New South Wales, Anthony Cooke berkata penyerang yang telah ditembak mati oleh pegawai kanan polis di tempat kejadian semalam ialah Joel Cauchi dari Queensland.

    Lima wanita dan seorang pengawal keselamatan lelaki terbunuh dalam serangan itu ketika Cauchi berkeliaran dengan sebilah pisau besar di pusat membeli-belah di kawasan Bondi Junction. Sementara itu, 12 lagi masih berada di hospital termasuk anak damit yang mengalami kecederaan teruk.

    Cooke berkata tiada bukti menunjukkan Cauchi ‘didorong oleh mana-mana motivasi, ideologi atau sebaliknya’.

    “Kami tahu bahawa pesalah mengalami masalah kesihatan mental,” tambahnya.
    Polis berkata dia disahkan menghidap masalah kesihatan mental sejak berusia 17 tahun tetapi tiada petunjuk dia mungkin menjadi ganas.

    Polis Queensland berkata Cauchi telah berhubung dengan polis beberapa kali sejak empat hingga lima tahun lalu tetapi tidak pernah ditangkap atau didakwa atas sebarang kesalahan.

    Dia dipercayai pergi ke Sydney kira-kira sebulan lalu dan menyewa sebuah stor simpanan kecil di bandar itu yang mengandungi barang peribadinya termasuk papan peluncur air. – AFP

    Polis mengepung pusat beli-belah Westfield, Bondi Junction di Sydney selepas insiden tikaman melibatkan beberapa mangsa pada 13 April 2024. Penyerang telah dikenal pasti sebagai seorang pesakit mental. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda