TOKYO, 16 JUN – Penyerang Kazuyoshi Miura memecahkan rekod apabila bermain di peringkat keempat Jepun pada usia 58 tahun untuk musim ke-40 sebagai pemain bola sepak profesional.
Bekas pemain antarabangsa, Miura, yang lebih dikenali sebagai ‘Raja Kazu,’ adalah pemain profesional tertua di Jepun dan luar negara.
Dia masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-82 untuk Atletico Suzuka Club kelmarin dan membantu pasukannya melakar kemenangan 2-1 dalam Liga Bola Sepak Jepun.
Miura, salah seorang pemain bola sepak Asia yang paling terkenal pada 1990an, tidak menja-ringkan gol tetapi berkata kepada pemberita dia gembira dapat memberikan sumbangan kepada pasukannya pada usia 58 tahun dan 109 hari.
“Terima kasih atas bantuan daripada rakan sepasukan dan jurulatih saya, saya telah berjaya melangkah sejauh ini. Sekarang saya mahu meningkatkan lagi mutu permainan saya,” katanya.
Miura kembali ke Jepun tahun lepas selepas dua musim bersama pasukan divisyen dua Portugal, Oliveirense, di mana dia membuat sembilan penampilan secara pinjaman dari Yokohama FC.
Dia membuat penampilan sulung pada tahun 1986 bersama pasukan Brazil Santos dan juga pernah bermain di Itali, Croatia dan Australia.
Pemain penyerang itu membantu meletakkan bola sepak Jepun pada peta apabila Liga J profesional dilancarkan pada tahun 1993. – AFP
